Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS) baru-baru ini telah menganjurkan tugasan amali bagi pelajar Tahun 11 BTEC Hospitality berlangsung di The Rizqun International Hotel, yang memfokuskan kepada topik Accommodation Services in Hospitality.
Sepanjang sesi amali berkenaan, para pelajar telah melaksanakan tugas pengemasan, termasuk mengemas katil serta membersihkan bilik air.
Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari di dalam bilik darjah dalam persekitaran hotel yang sebenar.
Terdahulu, pada 13 Oktober 2026, para pelajar telah mengadakan lawatan ke hotel berkenaan bagi mengenali perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
Lawatan berkenaan merangkumi bilik-bilik hotel, kolam renang, kawasan kaunter hadapan (front office), dewan-dewan majlis, Coffee House serta dapur.
Selain itu, ia juga memberi pendedahan yang lebih luas kepada para pelajar mengenai operasi hotel dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan dalam industri hospitaliti.
Melalui pengalaman pembelajaran berkenaan, para pelajar diharap dapat meningkatkan kemahiran praktikal serta memperoleh pengalaman secara langsung, khususnya dalam melaksanakan tugas pengemasan yang berkaitan dengan pembersihan dan penyediaan bilik tidur hotel.
Sesi amali berkenaan turut dihadiri oleh tiga guru BTEC Hospitality dari sekolah berkenaan serta Pegawai Fokus BTEC, Dayang Fatimah binti Md. Jaafar, bagi Program Khas dari Jabatan Sekolah-Sekolah.