Berita dan Foto : Ihsan Staf Sarjan (B) Haji Abdul Rahman Haji Nudin
TUNGKU LINK, Sabtu, 25 Julai. - Seramai 71 anggota yang masih berkhidmat dan bekas anggota tentera daripada Pengambilan 122 Tahun 2003 berhimpun pada Majlis Perjumpaan Semula (Reunion) sempena ulang tahun pengambilan mereka yang ke-23, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keinsafan itu dimulakan dengan Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi mendoakan rakan-rakan seperjuangan daripada Pengambilan 122 yang telah kembali ke rahmatullah.
Bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipanjatkan bagi memohon keampunan serta kesejahteraan ke atas roh mereka, di samping mengenang jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang hayat.
Penganjuran majlis tersebut turut bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga Pengambilan 122 yang telah terjalin sejak mereka memulakan latihan ketenteraan pada tahun 2003.
Selain mengimbau kenangan sepanjang 23 tahun persahabatan, majlis berkenaan juga menjadi platform untuk meraikan rakan-rakan yang telah menamatkan perkhidmatan dan melangkah ke alam persaraan sebagai penghargaan atas khidmat bakti mereka kepada agama, raja dan negara.
Semangat setia kawan dan persaudaraan yang terus utuh dalam kalangan warga Pengambilan 122, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, jelas terserlah sepanjang majlis tersebut.
Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra dan bergambar kenangan, sekali gus memperkukuhkan ikatan persahabatan yang telah terjalin lebih dua dekad.