Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) terus memperkukuh pengurusan sisa elektronik (e-sisa) di negara ini melalui penyediaan kemudahan pengumpulan serta penggalakan amalan pelupusan dan kitar semula yang selamat dan mampan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan perkara tersebut ketika menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas mengenai pelupusan sisa elektronik pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, sisa elektronik merujuk kepada perkakas elektrik dan elektronik yang tidak lagi boleh digunakan atau tidak lagi diperlukan dan perlu dilupuskan antaranya televisyen lama, peti sejuk, telefon bimbit, komputer riba, pendingin hawa, mesin basuh, pemain VCD dan DVD, komputer, pengering rambut dan projektor.
“Kebanyakan e-sisa mengandungi bahan toksik dan ada kesannya, bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kesihatan. Membuangnya ke dalam tong sampah adalah berisiko kerana banyak barangan elektronik dan elektrik mengandungi bahan seperti sulfur, raksa dan berilium oksida.
“Logam berat dan berbahaya lain seperti kadmium, kromium dan plumbum juga mungkin wujud. Inilah sebabnya e-sisa perlu dilupuskan dengan mengikut peraturan. Pembuangan e-sisa secara sewenang-wenang juga membawa kepada pemenuhan tapak pelupusan sampah,” kongsi Yang Berhormat.
Terang Yang Berhormat, satu lagi sebab e-sisa perlu dilupuskan dengan baik adalah komponen-komponen kecil di dalam barangan elektronik dan elektrik perlu diselamatkan dan digunakan semula di dalam peranti atau projek baru.
Mengambil kira akan penerangan tersebut, jelas Yang Berhormat, maka Kementerian Pembangunan melalui JASTRe telah pun menyediakan tempat pengumpulan sisa elektronik iaitu di Tempat pengumpulan di Sungai Paku dan di Sungai Akar bagi orang ramai menghantar sisa elektronik mereka.
Setelah dikumpul tambah Yang Berhormat lagi, pihak JASTRe melalui kontraktor yang dilantik akan membuat pengasingan komponen seperti tembaga, emas dan aluminium untuk diekstrak semula melalui proses kitar semula yang selamat. Proses sedemikian jika diurus secara betul, ia bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah menyokong ekonomi kitaran dan membuka peluang pekerjaan.
“Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi, dianggarkan sejumlah 68.2 tan e-sisa yang telah dihantar ke pusat pengumpulan sisa elektronik di Sungai Paku dan Sungai Akar pada tahun 2025 untuk dilupuskan dan dikitar semula.
“Dalam pada itu, di peringkat dunia Global E-waste Monitor Report menunjukkan bahawa hanya 22.3 peratus daripada 62 juta metrik tan sisa peralatan elektrik dan elektronik (WEEE) yang dijana setiap tahun berjaya dikitar semula secara rasmi,” kongsi Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata, keadaan ini mencerminkan cabaran global dalam mengurus e-sisa, di samping menuntut pendekatan yang lebih bersepadu bagi memperkukuh amalan pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula.