Peranan akidah, pendidikan Islam, institusi beraja dalam memperkukuh MIB

18 Nov 2026 - 9:49am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Selasa, 17 November. - Peranan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas dalam memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam (NBD) menjadi fokus utama Seminar Majlis Ilmu 2026 yang berlangsung pada hari ini di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Seminar sehari yang dianjurkan sempena Majlis Ilmu 2026 tersebut membawa tema 'MIB : Tonggak Kedaulatan Negara' dan menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan serta pakar dalam pelbagai bidang untuk membincangkan kepentingan falsafah MIB dalam menghadapi cabaran semasa dan memastikan kelangsungannya sebagai teras kehidupan bernegara.

Seminar yang berlangsung ini dibahagikan kepada tiga sidang utama yang membincangkan aspek agama, sistem beraja, sejarah, bahasa, budaya, pendidikan dan pembentukan jati diri generasi muda.

Dalam Sidang Pertama bertema ‘Islam dan Sistem Beraja sebagai Tonggak Kestabilan dan Kedaulatan Negara’ mengetengahkan peranan akidah, pendidikan Islam dan institusi beraja dalam memperkukuh falsafah MIB sebagai asas kestabilan dan kedaulatan negara.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada Sidang Pertama ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof serta Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Dua kertas kerja dibentangkan dalam sidang ini masing-masing disampaikan oleh mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dengan kertas kerja bertajuk ‘Aqidah dan Pendidikan Islam: Benteng Pengukuhan MIB dalam Menghadapi Cabaran Global’.

Dalam pembentangannya, Yang Dimuliakan Pehin menjelaskan bahawa komponen Melayu merujuk kepada identiti bangsa Melayu yang berteraskan tujuh puak jati di NBD.

Kemelayuan bukan sekadar merujuk kepada keturunan tetapi juga merangkumi bahasa, adat resam, budaya, nilai dan cara hidup masyarakat. Unsur ini turut menjadi sebahagian daripada asas kepada sistem pemerintahan beraja dan pembentukan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Bukan itu sahaja, Islam jelasnya, merupakan agama rasmi NBD, berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dengan Mazhab Syafii sebagai pegangan utama dalam amalan dan perundangan agama. Islam berperanan sebagai panduan kehidupan yang mencakupi aspek akidah, syariah dan akhlak serta menjadi asas kepada pembentukan masyarakat di negara ini.

Malahan, institusi beraja adalah tonggak pemerintahan negara. Sultan sebagai pemerintah dan ketua negara memegang amanah kepimpinan yang berlandaskan ajaran Islam serta peruntukan Perlembagaan NBD. Pemerintahan beraja bukan sekadar institusi politik, bahkan mempunyai tanggungjawab besar dalam memelihara agama Islam, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

Dalam menghuraikan falsafah MIB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan penjelasan yang ringkas tetapi amat bermakna tentang hubungan ketiga-tiga komponennya.

Sementara itu, Profesor di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah pula menyampaikan pembentangannya dengan kertas kerja bertajuk ‘Sistem Beraja Brunei : Warisan Melayu Islam Beraja, Tunjang Kedaulatan Negara’.

Dalam pembentangannya antara lain menyentuh mengenai Sejarah Sistem Beraja termasuklah dalam zaman awal, zaman kegemilangan, zaman kemerosoton dan perlindungan British serta zaman kebangkitan dan kemerdekaan.Menurut beliau, MIB sebenarnya  bukanlah  baru  tetapi sudah lahir semenjak beberapa abad lagi. Ia tidak lebih daripada menunjukkan bentuk dan corak  kerajaan Brunei  Darussalam yang tulen;  Kerajaan Melayu Islam yang bersultan atau beraja.

Tambahnya, sebagai  sifatnya  sebuah kerajaan Islam, maka ia adalah yang terbaik dan yang  terunggul serta paling adil untuk semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini,  sama ada mereka itu  beragama Islam ataupun tidak.