Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Bersempena Minggu Maritim Brunei Darussalam (MWBD) 2026, beberapa sesi forum dan taklimat diadakan di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, di ibu negara, pagi tadi, bagi membincangkan isu-isu strategik yang memfokuskan kepada pembangunan sektor maritim yang selamat, mampan dan berdaya saing.
Antaranya ialah sesi ucaptama pembukaan yang disampaikan oleh Pengarah Jualan Penasihat Global, Lloyd's Register, Douglas Raitt, yang mengupas usaha memperkukuh pentadbiran maritim melalui pelaksanaan instrumen Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), tadbir urus yang lebih berkesan serta penanda aras prestasi.
Acara diteruskan dengan sesi Ekonomi dan Perdagangan Maritim yang membincangkan mengenai strategi pembangunan pelabuhan, kesalinghubungan maritim, koridor perdagangan serantau serta peranan sektor maritim dalam mempelbagaikan ekonomi negara.
Sesi berkenaan juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama awam dan swasta, selain pendigitalan sebagai pemangkin kecekapan serta daya saing.
Sementara itu, sesi Kemampanan Maritim memberi tumpuan kepada strategi penyahkarbonan sektor maritim, pembangunan pelabuhan hijau, operasi mampan serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Sesi berkenaan mengetengahkan peluang pembiayaan hijau, penggunaan teknologi serta kerjasama serantau dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar.
Pembentangan khas dari Lloyd's Register pula menyentuh mengenai pembangunan keupayaan tenaga kerja, kepimpinan, budaya keselamatan dan pembangunan bakat dalam meningkatkan kecemerlangan operasi, inovasi serta daya tahan industri.
Sesi seterusnya ialah forum mengenai pembangunan tenaga kerja dan bakat yang memberi tumpuan kepada usaha melahirkan tenaga kerja maritim yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk menangani jurang kemahiran, memperkukuh penyelarasan pendidikan dan latihan, menarik penyertaan golongan belia serta memperluas inisiatif peningkatan dan penambahbaikan kemahiran sejajar dengan perkembangan pendigitalan, automasi dan kemampanan.
Forum berkenaan menghimpunkan pakar industri, pembuat dasar, ahli akademik serta pemimpin sektor maritim dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pandangan dan amalan terbaik, di samping memperkukuh kerjasama ke arah pembangunan sektor maritim yang lebih berdaya tahan, inovatif dan mampan.