Pesta Konvokesyen UTB ke-11 dirasmikan

25 Og 2026 - 9:50am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

RIMBA, Isnin, 24 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei, pagi tadi berkenan merasmikan Pesta Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) ke-11 2026 yang berlangsung di dewan serbaguna universiti berkenaan. 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah dialu-alukan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Majlis UTB; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Timbalan Pengerusi Majlis UTB, serta Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra. 

Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan kerajaan, tetamu-tetamu jemputan, warga UTB, Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta para pelajar UTB. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Awang Murat. 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan merasmikan Pesta Konvokesyen UTB Ke-11 2026, yang diikuti dengan laungan takbir dan persembahan multimedia yang memaparkan pencapaian serta perjalanan UTB. 

Acara kemudian diteruskan dengan persembahan kebudayaan oleh para pelajar UTB dengan mengetengahkan muzik tradisional, monolog teater, dan tarian tradisional UTB yang dipersembahkan oleh Performing Arts Group UTB serta persembahan kontemporari oleh Kelab Korea Hanwoori UTB. 

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyaksikan pameran bertemakan ‘Celebrating 40 Years of Talents and Innovations’, yang memperingati perjalanan UTB selama empat dekad serta komitmennya dalam memupuk bakat, memajukan inovasi dan menghasilkan impak merentas pelbagai disiplin. 

Sejurus itu, DYTM juga berkenan melancarkan perasmian stesen pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) Pintar oleh Pusat Penyelidikan Pengangkutan (CfTR) UTB, yang merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha universiti memperkasa mobiliti lestari. 

Dengan berpandukan kepada stesen pengecas EV berkuasa Solar PV yang telah ditubuhkan pada Jun 2023, kemudahan baharu ini dibangunkan dengan kerjasama Han S.L. Sdn. Bhd. 

Stesen berkenaan dilengkapi dengan dua titik pengecasan AC Tahap 2 berkapasiti 22 kW yang membolehkan dua buah kenderaan elektrik dicas secara serentak. 

Stesen pengecas tersebut boleh digunakan oleh warga UTB, para pelajar dan orang ramai melalui aplikasi mudah alih EZ Charge, dan sebagai meraikan pelancarannya, perkhidmatan pengecasan EV akan ditawarkan secara percuma selama satu bulan. 

Inisiatif ini mencerminkan komitmen CfTR dalam menterjemahkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada penyelesaian praktikal yang menyumbang kepada keutamaan kelestarian negara, termasuk Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, khususnya Strategi 3 mengenai Tenaga Boleh Diperbaharui dan Strategi 4 mengenai Kenderaan Elektrik, di samping menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima pesambah dari MPP UTB yang bertemakan ‘Lestari Ilmu, Gemilang Negara’, yang melambangkan aspirasi para pelajar UTB untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan dan bakat mereka kepada pembangunan negara. 

DYTM juga berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli MPP UTB bagi sesi 2026 / 2027. 

Pelbagai acara telah disusun sepanjang Pesta Konvokesyen UTB Ke-11, antaranya Majlis Khatam Al-Quran; Sukan Fiesta Ke-8; UT-Bersamamu 3.0; UTB Carnival 2026; UTBerjaya 2026; UTB Deenovation; Drive the Change: Innovation and Sustainability; UTB Healing Day; Mental Health Week; dan International Culture Day. 

Pesta Konvokesyen tahunan ini meraikan kejayaan para pelajar UTB yang telah menamatkan pengajian, di samping menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat, kreativiti, penyelidikan dan inovasi mereka. 

Majlis Konvokesyen UTB Ke-14 akan berlangsung pada 26 Ogos 2026 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di mana para graduan UTB akan menerima ijazah masing-masing.