PKWE Tutong anjur Majlis Penutup Dikir

28 Og 2026 - 6:30am

Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

TUTONG, Khamis, 27 Ogos. - Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Tutong mengadakan Majlis Penutup Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di dewan pusat berkenaan, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

Terdahulu majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis tersebut, Pengurus PKWE, Tutong, Awang Haji Hamaffi bin Md. Yassin yang antara lain menjelaskan bahawa majlis berkenaan merupakan kemuncak kepada siri laungan selawat dan dikir yang telah diadakan berhari-hari di pusat tersebut.Aktiviti berkenaan katanya, bertujuan untuk menanamkan rasa cinta yang mendalam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mengimarahkan aktiviti berkebajikan dalam kalangan warga emas di Daerah Tutong. Selain meraih pahala, aktiviti ini juga memperkukuh hubungan silaturahim dan ukhuwah sesama kita, tambahnya. 

Majlis kemudian disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan bacaan Dikir As-Salai, Dikir Alhamdu dan Dikir Asyrakal beramai-ramai. Seterusnya bacaan Doa Dikir dan Doa Selamat. 

Majlis yang dianjurkan oleh Ahli PKWE Tutong itu merupakan komitmen setiap ahli dalam pusat berkenaan sekali gus membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus berbakti dan mengagungkan syiar Islam.