Program Motivasi Kem Kitani Ke-8 bentuk sahsiah, perkukuh semangat berpasukan

8 Og 2026 - 5:16am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Siti Rokiah Abdullah, ihsan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

 

BERAKAS, Jumaat, 7 Ogos. - Seramai 60 orang penuntut Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Tahun 7 hingga Tahun 11 menyertai Program Motivasi Kem Kitani kali Ke-8 yang berlangsung selama dua hari di Kem Batang Duri, Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Temburong.

Program yang diadakan sempena cuti persekolahan itu bertujuan membentuk sahsiah, memperkukuhkan semangat berpasukan serta memupuk keyakinan diri dalam kalangan penuntut sebagai persediaan menghadapi cabaran akademik dan kehidupan. Sepanjang program berlangsung, seramai 10 orang guru bertugas sebagai guru pengawas bagi memastikan kelancaran aktiviti dan kebajikan para peserta sentiasa terpelihara.

Pelbagai aktiviti luar telah disusun, antaranya latihan pembinaan pasukan (‘team building’), kepimpinan, penyelesaian masalah serta kemahiran asas ikhtiar hidup (‘survival’). Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, malah memberi peluang kepada mereka untuk mengasah kemahiran komunikasi, kerjasama dan membuat keputusan dalam pelbagai situasi.

Sebelum bertolak ke kem, satu majlis pendaftaran telah diadakan di ‘concourse’ sekolah. Dalam ucapan nasihatnya, Ketua Hal Ehwal Pelajar, Dayang Nadirah binti Haji Mohd. Daud, mengingatkan para penuntut supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga disiplin serta mematuhi segala arahan sepanjang mengikuti program.

Beliau turut berharap agar setiap peserta memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang diperoleh melalui setiap aktiviti yang dijalankan, sekali gus menjadikan program tersebut sebagai platform untuk membina jati diri, meningkatkan daya tahan dan membentuk keperibadian yang lebih cemerlang. Pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dengan membenarkan anak-anak mereka menyertai program berkenaan.

Sementara itu, menurut salah seorang guru pengawas, penganjuran program semasa cuti persekolahan merupakan pendekatan yang sesuai bagi menyuntik semangat motivasi kepada para penuntut sebelum menghadapi peperiksaan akan datang.