Program Sua Muka bariga isu semasa, dasar kerajaan

9 Og 2026 - 6:48am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BELAIT, Sabtu, 8 Ogos. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Daerah Belait, Bahagian Komunikasi Strategik mengadakan Program Sua Muka bersama Ketua Kampung Perumahan Negara Lorong Tengah Seria dan Pemangku Ketua Kampung Pekan Seria Kawasan I, Mukim Seria, Daerah Belait bertempat di Dewan Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria, hari ini.

Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini. Manakala bagi pihak Kampung Perumahan Negara Lorong Tengah Seria dan Kampung Pekan Seria diketuai oleh Awang Muhammad Syaiful Faizal bin Angas selaku Ketua Kampung Perumahan Negara Lorong Tengah Seria Kawasan I dan Pemangku Ketua Kampung Pekan Seria, Mukim Seria, Daerah Belait.

Turut hadir, Penghulu Mukim Seria, Awang Mohammad Zairul Halfi bin Talip, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan dan juga Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran.

Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Dalam ucapan balasnya, ketua kampung menyentuh mengenai kepentingan program ini sebagai wadah untuk beramah mesra, bertukar pandangan serta mendengar secara langsung isu, pandangan dan keperluan masyarakat di akar umbi.

Program juga diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung daripada Jabatan Penerangan mengenai 'Penyebaran Maklumat Palsu' yang telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

Manakala, taklimat daripada Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran mengenai 'Usaha Kerajaan dalam Memperkenalkan Renewable Energy / Tenaga Baharu (Solar System)' telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Dayang Nurul Hadinah binti Yahaya.

Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam.