SAKAPES 3 labuhkan tirai dengan pembentangan resolusi

28 Og 2026 - 7:25am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Seminar Antarabangsa Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa Kali Ke-3 (SAKAPES 3) melabuhkan tirainya dengan pembentangan Resolusi Seminar, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad. Turut hadir, pegawai-pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai Utama KUPU SB; pegawai dan kakitangan kerajaan serta para pembentang dan peserta seminar.

Seminar berkenaan merupakan anjuran Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah dengan kerjasama Fakulti Usuluddin, KUPU SB. Pembentangan Resolusi Seminar telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Kertas Kerja, Perumus dan Pelapor SAKAPES 3, 2026, Awang Hilman bin Haji Salim.

Sebanyak lapan resolusi telah dirumuskan berasaskan empat tema utama, iaitu Pengukuhan Kefahaman dan Penghayatan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah; Pengukuhan Tazkiyah al-Nafs, Tasawuf, Akhlak dan Nilai Kerohanian; Transformasi Pendidikan, Tarbiah, Dakwah dan Pengukuhan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) serta Pengukuhan Penginstitusian dan Tadbir Urus Berteraskan Maqasid Syariah.

Melalui seminar tersebut, diharapkan agar resolusi yang dirumuskan menerusi keempat-empat tema berkenaan tidak terhenti sebagai wacana dan dapatan ilmiah semata-mata.

Sebaliknya, resolusi tersebut diharap dapat menjadi titik tolak kepada pelaksanaan tindakan yang praktikal, strategik dan berterusan menerusi sinergi antara institusi pendidikan, agensi keagamaan, pembuat dasar, para ilmuwan, pendidik, pendakwah serta masyarakat.

Usaha bersepadu itu penting bagi memastikan perkembangan dan kemajuan kecerdasan buatan terus dipandu oleh aqidah yang sahih, ilmu yang berautoriti, akhlak yang luhur serta Maqasid Syariah demi menjamin kemaslahatan agama, masyarakat dan negara.

Sepanjang seminar berlangsung, sebanyak satu kertas kerja utama dan 33 kertas kerja dalam sesi selari telah dibentangkan, selaras dengan tema seminar, 'Integrasi Nilai Ahli Sunnah Waljamaah di Era AI'.

Majlis Penutup Seminar diakhiri dengan penyerahan Resolusi Seminar kepada Ra'es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman, sekali gus menandakan berakhirnya penganjuran SAKAPES 3 bagi Tahun 2026.