Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai. - Majlis Khatam Al-Quran terus menjadi antara pengisian tahunan yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah ugama di negara ini sebagai pengiktirafan kepada murid-murid Darjah VI yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran di samping menyemai kecintaan terhadap kitab suci itu dalam kalangan murid.
Sehubungan itu, Sekolah Ugama Salambigar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Murid-Murid Darjah VI yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, petang tadi.
Majlis berkenaan diraikan oleh seramai 49 murid yang terdiri daripada 24 murid lelaki dan 25 murid perempuan.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohamed Asran bin Pengiran Haji Mahmud, yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam, persembahan dikir serta penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran majlis tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada para murid untuk terus istiqamah membaca, memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.