Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
SENGKURONG, Isnin, 24 Ogos. - Bagi menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta memupuk kecintaan dan penghayatan terhadap sirah, sunnah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Kampung Mulaut, dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Mulaut, telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud 12 Malam Berturut-turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis tersebut diadakan di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk memupuk semangat cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, memperkukuh ukhuwah islamiah serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk dan jemaah melalui penglibatan dalam aktiviti keagamaan yang diadakan di masjid.
Penganjuran Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut turut mencerminkan komitmen berterusan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Majlis Perundingan Kampung Mulaut dalam menghidupkan syiar Islam serta menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama mengimarahkan masjid dan menyertai kegiatan keagamaan.
Majlis seumpama ini diharap akan dapat terus menyemai dan menyuburkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, seterusnya membentuk masyarakat yang menghayati dan mengamalkan ajaran serta akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, penglibatan masyarakat secara bersama diharapkan dapat mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kebersamaan dan memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk serta jemaah kampung berkenaan.