Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa penghuni premis susulan pemeriksaan yang dijalankan di tempat-tempat kerja sepanjang Ogos 2026.
Tindakan penguatkuasaan berkenaan melibatkan ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas).
Pemeriksaan di sebuah tapak kerja pembinaan di Kampung Sengkurong ‘B’, Mukim Sengkurong mendapati penghuni premis gagal mematuhi Peraturan 5, Pemberi Pertolongan Cemas di bawah peraturan berkenaan.
Sehubungan itu, denda kompaun sebanyak BND500 telah dikenakan dan penghuni premis diarahkan untuk mengambil langkah-langkah pembetulan yang diperlukan bagi menangani ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
Sementara itu, pemeriksaan di sebuah unit flat yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di Beribi, Gadong turut mendapati kegagalan mematuhi Peraturan 5, Pemberi Pertolongan Cemas.
Denda kompaun sebanyak BND500 telah dikenakan, di samping arahan kepada penghuni premis untuk mengambil langkah-langkah pembetulan yang diperlukan.
Dalam pemeriksaan berasingan di sebuah unit flat yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di Beribi, Gadong, SHENA mendapati kegagalan mematuhi Peraturan 4, Penyediaan Peti Pertolongan Cemas.
Susulan itu, denda kompaun sebanyak BND500 telah dikenakan dan penghuni premis diarahkan untuk mengambil langkah-langkah pembetulan bagi menangani ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
SHENA menegaskan bahawa pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Penggal 277, serta peraturan-peraturan subsidiarinya adalah diwajibkan pada setiap masa.
Mana-mana penghuni yang bertanggungjawab ke atas premis yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas) adalah melakukan suatu kesalahan dan, jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi BND5,000.
Ketidakpatuhan yang berterusan atau berulang boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan lanjut, termasuk pendakwaan.
Bergantung pada jenis dan keadaan kesalahan tambahan atau berkaitan yang dilakukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Penggal 277, atau peraturan-peraturan di bawahnya, pesalah juga boleh dikenakan hukuman yang lebih berat, termasuk pemenjaraan jika diperuntukkan secara nyata oleh undang-undang.
SHENA akan terus menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang bagi melindungi pekerja, orang awam dan alam sekitar.