Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha
TUTONG, Khamis, 27 Ogos. - Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (SM RIPAS), Tutong, telah menerima kunjungan delegasi dari Daejeon Byeondong Middle School, South Korea menerusi program CONURI yang berlangsung selama dua hari, pada 26 dan 27 Ogos 2026.
Delegasi berkenaan terdiri daripada dua orang guru dan lima orang pelajar dari Daejeon Byeondong Middle School. Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkasa pertukaran pendidikan dan budaya antara pelajar dan warga sekolah dari kedua-dua buah negara.
Pada hari pertama, delegasi telah disambut oleh pihak pentadbiran sekolah, guru-guru dan pelajar SM RIPAS melalui sesi sambutan rasmi yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, ucapan alu-aluan daripada Pengetua SM RIPAS, Dayang Hajah Adimah binti Haji Mohd. Said serta ucapan daripada wakil Daejeon Byeondong Middle School.
Sesi tersebut turut disusuli dengan pengenalan dan pertukaran pelajar serta penerangan mengenai ‘Buddy System’, yang membolehkan pelajar Republik Korea berinteraksi dan mengikuti aktiviti bersama pelajar SM RIPAS sepanjang lawatan.
Delegasi kemudiannya dibawa mengikuti lawatan sekitar kawasan sekolah, termasuk beberapa blok akademik, perpustakaan, surau, ‘grandstand’ dan kawasan pertanian pravok sekolah.
Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar Republik Korea untuk mengenali dengan lebih dekat persekitaran pembelajaran, kemudahan serta aktiviti pendidikan yang dijalankan di SM RIPAS.
Acara diteruskan dengan sesi pertukaran budaya, yang menampilkan pembentangan pertukaran pakaian tradisional oleh pelajar Republik Korea dan pelajar Brunei, diikuti persembahan drama bertajuk ‘Lumut Lunting dan Pilong-Pilongan’.
Pada sebelah petang, para pelajar turut berpeluang menyertai aktiviti tradisional Brunei iaitu demonstrasi cara membuat Dastar dan seterusnya diikuti dengan aktiviti membuat Kipas Tradisional Republik Korea (Buchae).
Pada hari kedua, program diteruskan dengan sesi perkongsian dan pertukaran budaya yang lebih interaktif.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah Sesi Perkongsian Makanan Tradisional Brunei dan Republik Korea Selatan; Demonstrasi Pakaian Tradisional oleh pelajar Brunei dan Republik Korea Selatan; Demonstrasi Penulisan Jawi; Demonstrasi Permainan Tradisional Brunei (Tilu Tilan dan Simban); Demonstrasi Permainan Tradisional Republik Korea (Jagichagi); dan Persembahan Gulintangan Khas dari guru, pelajar dan kakitangan SM RIPAS.
Program kemudiannya diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan ucapan perpisahan daripada Pengetua Sekolah SM RIPAS.
Sebagai penutup lawatan, delegasi Daejeon Byeondong Middle School bersama guru pengawas dari SM RIPAS berkesempatan mengikuti lawatan ke Pusat Sejarah dan Bandar Seri Begawan, sekali gus memberikan pengalaman tambahan kepada para pelajar Republik Korea untuk mengenali sejarah, warisan dan suasana bandar di Negara Brunei Darussalam.
Lawatan program CONURI ini bukan sahaja menjadi wadah pertukaran ilmu dan budaya, malah membuka ruang kepada pelajar kedua-dua buah negara untuk membina persahabatan, meningkatkan kefahaman antara budaya serta berkongsi pengalaman pendidikan dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna. Diharapkan hubungan yang terjalin melalui program ini akan terus diperkukuh dan berkembang pada masa akan datang.