Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Jawatankuasa World Book Day 2026 Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Budaya membaca perlu terus diperkasa sebagai pemangkin kepada pembentukan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berakhlak mulia dalam mendepani cabaran dunia yang semakin dinamik.
Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA), Dayang Hajah Rosiah binti Haji Gharif, menegaskan perkara berkenaan ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Sambutan World Book Day-WBD (Hari Buku Sedunia) 2026 yang berlangsung di dewan serbaguna sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Dayang Hajah Rosiah, sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, bahkan menjadi wadah penting untuk menyedarkan warga sekolah tentang besarnya peranan buku dalam membina tamadun, memperluas ilmu pengetahuan serta membentuk sahsiah dan nilai murni dalam diri setiap individu.
Tambahnya lagi, walaupun dunia kini berada dalam era digital yang berkembang pesat, buku kekal relevan sebagai khazanah ilmu yang menjadi jambatan kepada pelbagai idea baharu, memperluas perspektif serta meningkatkan keyakinan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Sehubungan itu, pengetua sekolah menyeru agar amalan membaca dijadikan sebagai satu budaya hidup dan bukan sekadar memenuhi tuntutan akademik, kerana setiap bahan bacaan mampu memperkayakan minda, mengasah kemahiran berfikir serta membentuk keperibadian yang lebih matang.
Beliau turut menekankan bahawa sekolah memainkan peranan penting dalam menyemai minat membaca melalui pelbagai program dan aktiviti yang mampu mencetuskan inspirasi kepada para pelajar untuk menjadikan membaca sebagai amalan harian dan pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam ucapannya juga turut mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada kecerdasan, malah memerlukan kesungguhan untuk terus menimba ilmu.
Justeru, beliau menggalakkan pelajar menjadikan perpustakaan sebagai pusat rujukan, buku sebagai teman setia dan ilmu sebagai bekalan berharga demi menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Dayang Hajah Rosiah juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Seni Bahasa, Jabatan Bahasa Inggeris dan Bahagian Perpustakaan atas komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya literasi di sekolah, sekali gus membuktikan bahawa usaha memupuk minat membaca memerlukan kerjasama semua pihak.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru, jawatankuasa penganjur, pustakawan sekolah, para pelajar serta semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan WBD 2026, sambil berharap segala usaha yang dilaksanakan akan menjadi amal kebajikan dan memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh warga sekolah.
Acara sambutan kali ini melibatkan hampir 400 penyertaan warga SMSUA termasuk tenaga pengajar, penuntut dan kakitangan sekolah untuk menjayakan WBD 2026 menerusi pelbagai aktiviti dan acara yang diketengahkan.
Aktiviti-aktiviti yang memeriahkan WBD 2026 antaranya Drama Sketsa Keselamatan Jalan Raya : Salah Siapa? oleh penuntut Tahun 9; Deklamasi Puisi : 'Daulat Kata Indah' daripada Awang Md. Aisy Afham (105c1); Deklamasi Sajak Berkumpulan : 'Baca Buku Baca' oleh penuntut Tahun 7; Persembahan Sajak : 'Mimpi' oleh Awang Arsyad Al-Hakim bin Othman (Tahun 8 Barakah); kuiz Hari Buku Sedunia; Best Book Character Costume bagi semua penuntut dan warga SMSUA dan pelbagai acara lain lagi.