Suntik semangat patriotisme, sifat perpaduan dalam kalangan pelajar

28 Og 2026 - 6:40am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Jerayawara Kenali ASEAN diteruskan lagi hari ini dalam usaha membarigakan dan memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para pelajar sekolah menengah di negara ini.

Jerayawara anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan atau SCI ASEAN-COCI tersebut kali ini diadakan di Darussalam Hall, Sekolah Chung Hwa Middle School (CHMS), di ibu negara, di sini.

Pada jerayawara berkenaan, Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Pemangku Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Nooramalina binti Haji Mohd. Daud.

Seramai 427 orang penuntut Tahun 7, 8 dan 9 menyertai taklimat tersebut.

Turut hadir, Pengetua CHMS, Kho Guik Lan dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.

Taklimat antara lain bertujuan untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN, 'Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti' (One Vision, One Identity, One Community).

Para pelajar juga berkesempatan mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN.

Selain membarigakan maklumat mengenai ASEAN, program berkenaan merupakan usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan atau ASEAN-ness dalam kalangan pelajar.

Usaha itu juga dihasratkan dapat membantu para pelajar menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, di samping mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat, khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.