Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Tahun Melawat Brunei 2027 bukan sekadar kempen promosi tetapi ia merupakan platform nasional untuk mengetengahkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi yang unik, aman, berkualiti serta kaya dengan alam semula jadi, budaya, warisan Islam dan nilai-nilai Melayu Islam Beraja, pada masa yang sama, ia perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk meningkatkan pelaburan, memperkukuh perusahaan tempatan, mewujudkan pekerjaan berkualiti, dan mempercepatkan kepelbagaian ekonomi.
Inisiatif Tahun Melawat Brunei 2027 dilihat sebagai salah satu pemacu utama kepada perubahan tersebut. Inisiatif ini amat signifikan dan bertepatan kerana tahun 2027 akan menyaksikan dua acara kenegaraan yang saling melengkapi, iaitu Sambutan Jubli Intan Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena 60 Tahun Menaiki Takhta dan Tahun Melawat Brunei 2027.
Ini dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa berucap pada Kenyataan Menteri: ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.
Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, kementerian telah menetapkan sasaran sekitar satu juta pelancong dengan unjuran hasil pendapatan pelancongan sekitar BND630 juta menjelang tahun 2027. Walau bagaimanapun, kejayaan tidak akan dinilai melalui dua angka dan KPIs ini sahaja.
Tambah Yang Berhormat, pengukuran perlu turut melihat tempoh purata penginapan, perbelanjaan bagi setiap pelawat, kadar penghunian premis-premis penginapan pelancong, penyertaan perusahaan tempatan, penggunaan produk tempatan, peluang pekerjaan yang diwujudkan dan sejauh mana manfaat ekonomi sampai kepada komuniti di seluruh negara.
Untuk mencapai matlamat ini, jelas Yang Berhormat, pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation bukanlah sekadar ungkapan, ia perlu menjadi kaedah kerja dan model pelaksanaan.
Selanjutnya, terang Yang Berhormat lagi, Whole-of-Government bermaksud setiap kementerian dan agensi memahami peranan masing-masing dalam perjalanan pelawat dan menyelesaikan isu secara bersama manakala Whole-of-Nation pula bermaksud sektor swasta, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi, pengendali pengangkutan, perusahaan tempatan, pemimpin akar umbi dan masyarakat turut mengambil pemilikan terhadap peluang yang diwujudkan.