Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
SERIA, Sabtu, 25 Julai. - Satu program latihan peningkatan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) secara percuma diadakan di Seria Energy Lab, Seria, di sini, bertujuan melengkapkan lepasan sekolah, graduan baharu dan pencari kerja di Daerah Belait dengan kemahiran praktikal dalam bidang AI bagi meningkatkan peluang pekerjaan serta keusahawanan.
Program sehari yang bertemakan ‘Belait's Future Starts With You’ ini menghimpunkan rakan-rakan kerjasama tempatan bagi menangani isu pengangguran belia menerusi latihan kemahiran digital secara praktikal.
Seramai 24 peserta diberikan bimbingan menggunakan alat dan teknik asas AI yang boleh diaplikasikan dalam pencarian pekerjaan, meningkatkan produktiviti di tempat kerja serta memulakan atau menguruskan perniagaan kecil.
Latihan ini dikendalikan oleh Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Penasihat Panel (Akademik dan Penyelidikan), Brunei4AI serta Master Trainer di bawah Program AI Ready ASEAN, Dr. Mayyer Ling.
Program AI Ready ASEAN merupakan inisiatif literasi digital serantau anjuran ASEAN Foundation dengan sokongan Google.org yang menyasarkan untuk melengkapkan 5.5 juta rakyat di seluruh ASEAN dengan kemahiran asas AI. Sebagai Master Trainer, Dr. Mayyer memainkan peranan penting dalam menyampaikan latihan dan pembangunan kapasiti AI di peringkat serantau.
Program ini dianjurkan oleh teras Digital Knowledge and Economy di bawah Revitalize Belait, dengan kerjasama CoreJana Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berpangkalan di Negara Brunei Darussalam (NBD), serta dihoskan di Seria Energy Lab, inisiatif utama pendidikan STEAM dan pelaburan sosial milik Brunei Shell Petroleum (BSP).
Brunei4AI, komuniti inovasi AI akar umbi negara turut menyokong program ini sebagai rakan ekosistem dengan membantu menghubungkan Revitalize Belait kepada sumber, kepakaran dan rangkaian yang menjayakan inisiatif ini.
“Matlamat kami adalah mudah iaitu untuk memastikan golongan belia di Daerah Belait tidak ketinggalan ketika AI terus mengubah landskap dunia pekerjaan. Sama ada seseorang sedang mencari pekerjaan atau ingin meningkatkan kemahiran AI mereka, program ini menyediakan kemahiran praktikal yang boleh terus dimanfaatkan,” kata Malai Masrhiem, yang mengetuai teras Digital Knowledge and Economy di Revitalize Belait serta merupakan Pengarah CoreJana Solutions Sdn. Bhd.
“Memperkasa dan meningkatkan ekosistem masyarakat akar umbi dalam bidang AI dan digital merupakan komitmen yang sentiasa dipegang oleh Brunei4AI, selaras dengan misi kami untuk menyokong kemajuan sosioekonomi negara melalui penerapan AI yang bermakna dan bertanggungjawab,” kata Pengasas Brunei4AI, Rahimin Abdul Amin mengenai peranan komuniti itu dalam menghubungkan rakan-rakan strategik seperti Revitalize Belait dengan sumber serta peluang pembangunan kapasiti AI.