Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 27 Ogos. - Dunia kini berada dalam fasa perubahan teknologi yang amat pesat. Kemajuan dalam Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan sistem automasi pintar turut merubah gaya hidup, kaedah pembelajaran dan cara kerja serta urus niaga.
Namun matlamat kita adalah jelas, teknologi adalah pemudah cara kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Demikian sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Penaung Diraja Brunei ICT Awards (BICTA) pada Majlis Penganugerahan BICTA 2026 bertempat Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, pagi tadi.
Terdahulu, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, BICTA terus berperanan sebagai wadah utama dalam mencungkil bakat, menyemai budaya reka cipta serta memperkasa inovasi anak tempatan.
Dalam mendepani perkembangan ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, sama-sama kita mengamati titah paduka ayahanda semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, yang antara lain menegaskan bahawa AI mesti dimanfaatkan untuk memperluas peluang dan bukan memperdalam jurang serta untuk memperkasa daya cipta manusia, bukan melemahkannya.
"Titah paduka ayahanda ini, jelas memberikan peringatan dan panduan berharga dalam setiap langkah penerokaan teknologi baharu.
"Pengalaman yang saya peroleh semasa siri Lawatan Kerja rasmi ke luar negara baru-baru ini, khususnya dalam meneliti pusat-pusat kecemerlangan serta aplikasi teknologi moden di institusi pengajian tinggi, memperlihatkan betapa pentingnya pelaburan yang sistematik dan mampan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembinaan modal insan berkemahiran tinggi serta perkongsian strategik dengan pihak industri," sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.
Sabda DYTM, seiring dengan peralihan ini, sudah tiba masanya untuk kita mengorak langkah lebih jauh. Kita bukan sekadar memanfaatkan kemajuan teknologi, bahkan mampu menerajui penciptaan dan pembangunan inovasi tempatan.
Keupayaan untuk memahami dan menyesuaikan teknologi mengikut keperluan domestik, termasuk dalam bidang strategik seperti keterjaminan makanan dan Perkhidmatan Awam yang mesra rakyat, amat mustahak bagi kita membina asas daya tahan serta menembusi pasaran serantau dan antarabangsa sabda DYTM.
DYTM bersabda menjelaskan, di sinilah letaknya nilai BICTA yang lebih bermakna. Wadah ini perlu terus menjadi medan lahirnya idea dan bakat yang bukan sahaja mampu meraih anugerah tetapi berkembang menjadi penyelesaian sebenar, penjanaan harta intelek dan perusahaan tempatan yang memberi impak.
Justeru, sabda DYTM lagi, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kita perlu memperkukuh asas Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang merentas pelbagai sektor, dengan disokong oleh jaringan kerjasama antarabangsa.
Pembangunan National Science, Technology and Innovation Strategy Framework merupakan langkah strategik dalam memberikan hala tuju yang tersusun kepada pembangunan ekosistem STI negara bagi memperkukuh keberhasilan penyelidikan serta menghubungkannya dengan kehendak industri.
"Usaha ini melengkapi matlamat Digital Brunei 2030 yang membawa aspirasi 'Together Towards Digital Brunei', dengan data dan AI sebagai pemacu transformasi merentas sektor. Kejayaan strategi ini bertunjangkan kepada beberapa keutamaan asas iaitu melahirkan barisan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sains data; keselamatan siber dan teknologi baharu; penyediaan dasar dan kerangka kawal selia yang responsif dan pemanfaatan data secara berimpak tinggi serta sinergi yang padu antara kerajaan, industri dan institusi pengajian.
"Sehubungan ini, asas ekosistem STI yang kukuh turut memerlukan ruang pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar dan terkawal. Inisiatif AITI dalam membangunkan 5G Campus Network di Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei dihasratkan menjadi testbed bagi menguji aplikasi masa hadapan termasuk sistem pengangkutan pintar, kenderaan berautonomi serta keselamatan awam berasaskan teknologi termaju," sabda DYTM.
DYTM juga bersabda, adalah menjadi harapan tinggi bagi kemudahan prasarana ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah memperkukuh ekosistem inovasi kebangsaan, memastikan hasil penyelidikan berupaya beralih secara lancar daripada pembuktian konsep kepada penjanaan harta intelek dan produk pasaran yang berdaya saing.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau sabda DYTM, terus menunjukkan pencapaian yang menggalakkan. Melalui Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA), bakat tempatan membuktikan keupayaan mereka bersaing di persada antarabangsa dengan bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.
Mengakhiri sabda DYTM, "Kepada semua peserta, finalis dan penerima BICTA 2026, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah seraya menyeru "Berinovasilah untuk mencipta nilai, menangani cabaran bersama dan membina masa hadapan Negara Brunei Darussalam yang makmur dan berdaya tahan".
DYTM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), InfoCom Federation Brunei (IFB), kementerian-kementerian, institusi-institusi pendidikan serta pihak industri atas komitmen berterusan dalam menjayakan usaha ini.