Berita dan Foto : Ihsan Persatuan Usahawan Muda Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) baru baru ini mengadakan pertemuan bersama ahli perniagaan terkemuka tempatan, Stephen Ong, yang menghimpunkan ahli-ahli dari pelbagai sektor bagi bertukar pandangan mengenai pengurusan perniagaan, pewarisan kepimpinan antara generasi, pembangunan bakat dan nilai-nilai teras dalam perniagaan.
Pertemuan yang disertai oleh ahli-ahli dari sektor reka bentuk, pengurusan media, perakaunan, kewangan, minyak dan gas serta perdagangan itu memberikan peluang kepada para usahawan muda untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli perniagaan berpengalaman menerusi perbincangan terbuka dan sesi soal jawab secara interaktif. Stephen Ong mempunyai pengalaman luas dalam dunia perniagaan di Negara Brunei Darussalam (NBD), termasuk dalam sektor hartanah, pelaburan dan pengurusan perhotelan, selain mempunyai latar belakang profesional dalam bidang pengurusan korporat dan analisis kewangan.
Dalam ucapan alu-aluan Presiden YEAB, Goh Chai Li berkata, pertemuan tersebut bertujuan memberikan peluang kepada usahawan muda untuk menimba pengetahuan daripada pengalaman ahli perniagaan yang lebih berpengalaman, memperluas perspektif perniagaan serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti perniagaan.
Beliau menambah, pertemuan seumpama itu juga dapat mengeratkan hubungan antara persatuan, penggiat industri dan pihak-pihak berkepentingan lain, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama rentas sektor pada masa hadapan.
Sepanjang pertemuan tersebut, para ahli mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan strategi perniagaan, perbezaan pendekatan pengurusan antara generasi, pengenalpastian dan pembangunan bakat serta perkembangan kerjaya individu. Berdasarkan pengalaman beliau, Stephen Ong berkongsi pandangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan sambil bertukar pendapat dengan ahli-ahli yang hadir, sekali gus mewujudkan perbincangan dua hala mengenai amalan pengurusan dan perniagaan. Beliau menekankan kepentingan sikap mengutamakan perkhidmatan, etika kerja yang positif serta pegangan teguh terhadap nilai-nilai teras dalam pengurusan perniagaan dan pembangunan diri.
Menurutnya, setiap individu berpeluang memperoleh pengalaman berharga melalui pelbagai peranan dan tanggungjawab sekiranya melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan nilai dan prinsip yang konsisten tanpa mengira peranan yang dipikul.
Menyentuh mengenai proses membuat keputusan perniagaan, beliau menjelaskan, walaupun pemikiran rasional dan pendekatan analitikal merupakan aspek penting, komunikasi yang berkesan serta persefahaman antara individu juga tidak kurang pentingnya. Beliau turut mengingatkan agar kebergantungan yang berlebihan terhadap data dan analisis tidak menyebabkan kepentingan hubungan sesama manusia dalam urusan perniagaan diabaikan.
YEAB akan terus menganjurkan pertemuan seumpama itu bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti perniagaan serta pihak-pihak berkepentingan, menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama rentas industri, di samping menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk menimba ilmu dan memperluas jaringan profesional. Maklumat lanjut mengenai aktiviti akan datang serta perkembangan terkini persatuan boleh diperoleh menerusi akaun media sosial rasminya, @yeabrunei.