Oleh : Saerah Haji Abdul GhaniFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Awang Anang Muhammad Fathur’rahman bin Anang Abdul Rahman diumumkan sebagai juara Pantaran Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) : Pertandingan Deklamasi Sajak Keputeraan berlangsung di Pentas Perayaan, kawasan letak kereta berhadapan dengan Muzium Alat Kebesaran Diraja, malam tadi.
Manakala tempat kedua disandang oleh Awang Muhammad Khairul Insan bin Haji Mardini diikuti tempat ketiga, Dayang Norfadizlina binti Haji Abd. Rahman.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang serta peserta pertandingan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Terdahulu, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP selaku Pengerusi Pantaran Sastera DBP : Pertandingan Deklamasi Sajak Keputeraan, Dr. Awang Haji Mohd. Ali bin Haji Radin dalam ucapannya menjelaskan, sajak yang diperdengarkan bukan sekadar rangkaian kata yang indah.
Menurutnya, di dalamnya terkandung doa, harapan, rasa syukur serta penghormatan kepada kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa memayungi rakyat dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan kasih sayang.
Pertandingan adalah bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun yang diungkayahkan oleh DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah dengan kerjasama Kumpulan PUTRA Seni.
Panel penilai terdiri daripada pakar dalam aspek penghakiman khususnya dari segi pengucapan, penghayatan serta kreativiti dan kelancaran deklamasi sajak, iaitu Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A Write Award) 2023, Dr. Chong Ah Fok; Pegawai Bahasa Kanan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP, Dayang Hajah Annisa binti Haji Moksin dan Pegawai Bahasa, Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya.
Objektif pertandingan ini adalah untuk menggalakkan dan memupuk semangat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui penghayatan dan apresiasi kesusasteraan; meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap karya sastera tempatan serta peranan sastera sebagai wahana pendidikan dan pembentukan jati diri; mencungkil bakat, kreativiti dan potensi peserta dalam bidang seni pengucapan pentas, khususnya deklamasi sajak.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menanam dan memperkukuh semangat kecintaan kepada raja melalui seni pengucapan puisi serta menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui aktiviti kesusasteraan yang berunsurkan kenegaraan dan patriotisme.
Turut hadir, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; pegawai dan kakitangan DBP, para penerima The S.E.A Write Award, para aktivis sastera, penggiat dan peminat seni tanah air serta orang ramai.