Trend positif terhadap kelestarian, pendidikan, digitalisasi

5 Sep 2026 - 6:13am

Berita dan Foto : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 4 September. – Hubungan yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam (NBD) bersama dengan Kesatuan Eropah (EU) semakin bergerak maju ke tahap yang jauh lebih baik, di mana membolehkan hubungan di antara kedua-dua buah negara menjalinkan kerjasama dengan lebih bermakna.

Selain mempereratkan hubungan dua hala, EU bersama dengan NBD dibangunkan lagi dengan lebih kukuh kerana NBD merupakan fasilitator bagi hubungan EU bersama dengan Negara-negara Anggota ASEAN.

Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mempunyai kedudukan dan legitimasi yang istimewa sebagai pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam kalangan pemimpin ASEAN.

NBD bergerak maju dengan sangat baik atas beberapa sebab, pertama, NBD memberikan perhatian yang sangat serius terhadap pembangunan modal insan serta penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Rakyat dan penduduk di negara ini khususnya pelajar-pelajar mempunyai rangkaian pengajian yang luas berikutan institusi pendidikan di negara ini yang tinggi.

Justeru, dari segi hubungan antara rakyat, EU telah membangunkan beberapa inisiatif khususnya untuk meningkatkan kehadiran pelajar di negara ini ke Eropah.

“Saya tahu ramai pelajar di negara ini pergi ke United Kingdom kerana sistem pendidikan yang terdapat di negara tersebut. Namun, negara-negara EU juga mempunyai banyak universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pengajaran mereka.

“Oleh itu, EU sedang berusaha lagi untuk terus menggalakkan lebih banyak kerjasama antara universiti-universiti di negara ini dengan beberapa buah universiti-universiti di Eropah. Dalam masa yang sama, pertukaran pelajar termasuk menggalakkan pelajar Eropah datang ke NBD, kerana EU melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang sangat positif,” demikian antara yang diujarkan oleh Duta Besar (Tidak Menetap) EU ke NBD, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi dalam satu temu bual eksklusif bersama Pelita Brunei baru-baru ini.

Dalam sesi temu bual tersebut, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi seterusnya menjelaskan bahawa trend positif NBD adalah tumpuan terhadap alam sekitar dan kelestarian. EU sangat berminat untuk menyokong penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NBD dan menawarkan sokongan dan bantuan yang sewajarnya dan trend ini menampakkan perkembangan yang sangat positif.

Dalam masa yang sama, EU juga berminat untuk melakukan lebih banyak kerjasama dalam bidang digital. Oleh itu, bidang pendidikan, kelestarian dan juga digital di NBD sedang bergerak maju dengan sangat baik dan EU akan sentiasa menyokong terhadap perkembangan tersebut.

“Dari segi masa depan ekonomi, berbanding tiga tahun yang lalu, saya melihat idea dan hala tuju NBD kini jauh lebih jelas, dengan tumpuan terhadap produktiviti dan juga pekerjaan.

“Sebagaimana penganjuran Ocean Week yang diadakan baru-baru ini, saya melihat NBD sedang menggunakan kelebihan daya saingnya dalam ekonomi maritim atau Ekonomi Biru, untuk mengembangkan perkhidmatan, kepakaran serta kemudahan pelabuhannya,” jelas Tuan Yang Terutama lagi.

Dengan kedudukan NBD yang sangat strategik malah ia merupakan pintu yang terbuka ke arah Viet Nam, China dan juga Filipina, oleh itu, jelas TYT, NBD mempunyai ruang strategik yang lebih luas.

“Dari segi menyediakan perkhidmatan maritim untuk kawasan yang besar dan padat penduduk, serta menggabungkan potensi pelanggan di bahagian utara dengan segala sumber yang terdapat di Borneo di bahagian selatan, perkara ini memberikan NBD kepentingan strategik yang lebih besar,” ujar TYT lagi.

Dalam masa yang sama, NBD juga merupakan sebahagian daripada Negara-negara Anggota ASEAN dan itu merupakan satu platform yang sangat penting.

“Kami percaya bahawa ASEAN yang lebih kukuh akan memberi manfaat kepada semua negara anggotanya. Dalam keadaan geopolitik yang bergolak pada masa ini, saya fikir adalah amat penting bagi ASEAN untuk kekal bersatu dan kukuh.

“Kami sebagai sebuah organisasi Eropah percaya bahawa model kami telah banyak membantu EU dan setiap negara anggotanya. Kami berharap perkara yang sama juga dapat berlaku di rantau ini,” tambah TYT.

Dalam sesi temu bual tersebut, TYT juga menyentuh mengenai usaha dalam menggalakkan pertukaran antara rakyat melalui bantuan yang lebih jelas kepada pelajar yang setentunya ingin memanfaatkan peluang biasiswa dan mewujudkan saluran komunikasi yang lebih jelas antara universiti di NBD dan EU serta menggalakkan kerjasama saintifik.

Ketika memberikan pandangan terhadap potensi besar NBD untuk memperdalamkan lagi hubungan kerjasama NBD dan EU, TYT menyentuh mengenai kelestarian di mana NBD menerapkan sokongan terhadap Pusat Perubahan Iklim dan juga usaha hiliran yang berkaitan dengan sumber tenaga sedia ada yang boleh digunakan dengan cara yang lebih lestari.

“Kemudian, kedua ialah pendidikan dan hubungan antara rakyat. Kami percaya bahawa pertukaran antara rakyat perlu diperkukuhkan. Kemudian, digital juga jelas merupakan satu bidang yang mempunyai potensi besar.

“Seperti yang saya sebutkan, ketiga-tiga bidang ini pada akhirnya bertujuan untuk meningkatkan perdagangan. Perdagangan antara EU dan ASEAN secara keseluruhannya sangat penting. Dalam konteks perdagangan EU-ASEAN ini, kami percaya potensi dengan NBD adalah besar,” tambah TYT.

Setelah berkhidmat selama tiga tahun selaku Duta Besar (Tidak Menetap) EU ke NBD, TYT menaruh harapan EU dan NBD dapat bergerak ke hadapan dengan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama, yang merupakan satu platform institusi yang membolehkan kita bertemu secara berkala dan membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

“Harapan kedua ialah saya berharap lebih ramai rakyat Eropah akan datang ke NBD, sama ada untuk pelancongan, kebudayaan, pekerjaan ataupun perniagaan. Tahun depan ialah Tahun Melawat Brunei 2027. Jadi, saya berharap akan terdapat lebih banyak pertukaran. Bukan sahaja pelajar, tetapi juga rakyat secara umum.

“Saya berharap rakyat di Eropah dapat mengenali NBD sebagaimana saya berpeluang mengenali NBD. Dan harapan ketiga saya ialah NBD terus memainkan peranan yang penting dalam ASEAN sebagai pemacu kepada ASEAN yang kukuh dan berpandangan jauh,” ujar TYT.

Sepanjang tiga tahun tersebut, TYT telah beberapa kali datang ke NBD bagi menyertai pelbagai aktiviti dan juga program seperti Pameran Pendidikan mengenai universiti-universiti di Eropah bersama dengan pelajar-pelajar di NBD.

“Inilah kali pertama kami menganjurkannya sebagai EU bersama wakil-wakil kedutaan dari Jerman dan juga Perancis. Ia merupakan pengalaman yang sangat baik untuk berinteraksi dengan golongan belia NBD.

“Selain itu, kenangan yang paling saya hargai ialah berpeluang menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ia merupakan kenangan kemuncak dalam kerjaya diplomatik saya sendiri,” ujar TYT.

Dalam mengakhiri temu bual tersebut, TYT meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa NBD dan juga EU akan terus bergerak maju ke hadapan dan malah perkembangan hubungan ini akan ke tahap yang lebih baik.

“Saya fikir kita telah mencapai satu tahap di mana kita boleh mempunyai lebih banyak penglibatan yang positif. Jadi, saya benar-benar yakin terhadap masa depan hubungan antara NBD dan EU,” ujar TYT.