Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TUNGKU LINK, Isnin, 26 Oktober. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC) hari ini mengesahkan kerjasama institusi mereka melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di UBD hari ini.
Menandatangani MoU bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, manakala SEAFIC ditandatangani oleh Pengerusi SEAFIC, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
MoU ini menandakan permulaan kerjasama strategik yang bertujuan untuk memperkukuh penyelidikan, penglibatan dasar, dan pertukaran pengetahuan di seluruh Asia Tenggara.
Kerjasama ini juga mewujudkan satu rangka kerja bagi kedua-dua institusi untuk meneroka kolaborasi dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk perubahan iklim, tadbir urus alam sekitar, pembangunan mampan, perniagaan, ekonomi, perdagangan, dan pelaburan.
Melalui MoU ini, UBD dan SEAFIC akan meneroka peluang bagi projek penyelidikan bersama, penerbitan akademik, dialog dasar, aktiviti perkongsian pengetahuan, serta program pembangunan kapasiti.
Kerjasama ini juga bertujuan untuk memperkukuh lagi hubungan antara ahli akademik, penggubal dasar, dan industri, di samping menyediakan peluang kepada ahli akademik, pelajar pascasiswazah, dan penyelidik peringkat awal kerjaya untuk menyumbang kepada perbincangan dasar serantau.
Dalam ucapannya, Dr. Hazri menekankan kepentingan menterjemahkan kerjasama antara institusi kepada hasil yang bermakna.
"Bagi UBD, nilai sebenar MoU ini tidak hanya diukur melalui perjanjian yang kita tandatangani hari ini, tetapi melalui kolaborasi dan hasil bermakna yang akan menyusul. Melalui kerjasama dengan SEAFIC, kami berharap dapat memperkukuh hubungan antara penyelidikan akademik, penggubalan dasar, dan industri, serta menyumbang kepada usaha menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang dihadapi oleh Asia Tenggara," ujar Dr. Hazri lagi.
Sementara itu, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul berkata, MoU yang ditandatangani petang ini menyediakan wadah bagi meneruskan usaha bersama kedua-dua institusi.
"Setiap tahun, perhatian terhadap jerebu cenderung berkurangan apabila asap menghilang. Harapan kami adalah agar usaha yang dimulakan hari ini berterusan merentasi musim, memandangkan pada tempoh inilah keputusan-keputusan penting dibuat.
"Semasa mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN tahun lalu, saya mendapati bahawa lebih mudah untuk mencapai persetujuan apabila semua pihak yang terlibat berpandukan fakta yang sama. Membantu rantau kita membina asas bukti yang dikongsi bersama inilah sumbangan yang diharapkan oleh SEAFIC," kata beliau.
Sebagai inisiatif kolaboratif pertama di bawah perkongsian baharu ini, SEAFIC telah menganjurkan satu perbincangan meja bulat dengan kerjasama UBD, yang bertajuk 'Penyelidikan Iklim dan Tadbir Urus Alam Sekitar Serantau di Asia Tenggara', dengan sokongan daripada Program Ekonomi Brunei (BEP).
Perbincangan meja bulat itu menghimpunkan wakil dari institusi akademik, kerajaan dan industri bagi membincangkan penyelidikan iklim serantau, tadbir urus alam sekitar, pencemaran jerebu rentas sempadan serta peranan penyelidikan dalam menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti.
Perbincangan berkenaan turut memberikan peluang kepada UBD dan SEAFIC untuk mengenal pasti keutamaan penyelidikan bersama serta meneroka agenda penyelidikan bersama, termasuk penerbitan hasil penyelidikan yang berpotensi dan aktiviti kerjasama pada masa hadapan.
MoU itu mencerminkan komitmen berterusan UBD dalam memperluas kerjasama strategik antarabangsa, memperkukuh impak penyelidikannya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan dan kerjasama serantau.