UNN, Vobile perkukuh kerjasama dalam pembangunan infrastruktur AI

5 Sep 2026 - 6:09am

Siaran Akhbar dan Foto : Unified National Networks Sdn. Bhd.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. - Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN) dan Vobile, Inc. telah memeterai perjanjian komersial bernilai jutaan dolar, yang menyaksikan Vobile, Inc. menjadi pelanggan UNN dan akan menggunakan kapasiti sehingga 25 megawatt (MW) di AI capable Data Centre yang dirancang oleh UNN.

Perjanjian bersejarah berkenaan ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Christopher Phan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Vobile, Inc., Yangbin Wang, pada Majlis Penandatanganan yang berlangsung di UNN’s Tungku Submarine Cable Landing Station pada 3 September 2026.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UNN.

AI-capable Data Centre yang dirancang oleh UNN berkenaan dijangka mula beroperasi pada 2028 dan akan disokong oleh sistem GPU NVIDIA.

Kemudahan berkenaan akan membantu Vobile, Inc. memperluaskan keupayaan platform DreamMaker Services dalam menyediakan perkhidmatan penciptaan kandungan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) serta perlindungan hak cipta yang digunakan oleh studio filem dan televisyen, penerbit bebas serta pencipta kandungan.

Perjanjian berkenaan mencerminkan keyakinan awal pelanggan terhadap keupayaan UNN dalam menyokong pembangunan infrastruktur bagi beban kerja AI dan teknologi digital lainnya.

Selain itu, ia juga memperlihatkan kesediaan NBD yang semakin berkembang dalam mewujudkan peluang bagi syarikat teknologi antarabangsa yang mempunyai keperluan beban kerja AI berkapasiti tinggi, sekali gus menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi serta memperkukuh daya saing negara di peringkat serantau.