Peranti penyimpanan : Pilihan di antara kelajuan dan kapasiti

1 Og 2026 - 9:43am

 

Pengenalan

 

PADA permukaan, Pemacu Cakera Keras ataupun Hard Disc Drive (HDD) dan Pemacu Keadaan Pepejal yang juga dikenali sebagai Solid State Drive (SSD) mempunyai fungsi yang lebih kurang sama, iaitu untuk menyimpan data. Kedua-dua peranti penyimpanan ini berfungsi sebagai memori untuk komputer dan bersifat non-volatile atau tidak meruap. Ini bererti, peranti tersebut boleh berfungsi sebagai memori komputer yang boleh menyimpan dan mengekalkan data walaupun bekalan kuasa elektrik ditutup atau dipadamkan. HDD atau SSD boleh digunakan untuk yang menyimpan sistem pengendalian, permainan, foto dan dokumen walaupun apabila kuasa dimatikan.

Perbezaan asas diantara HDD dan SSD ialah pada bentuk dan rekaannya. HDD merupakan peranti mekanikal yang wujud sejak beberapa dekad lalu. Ia berfungsi seperti pemain rekod – mempunyai cakera berputar yang bermagnet dan kepala baca / tulis pada lengan mekanikal yang bergerak untuk mengakses data. Setiap kali fail dibuka, bahagian-bahagian ini bergerak secara fizikal. SSD pula menggunakan memori kilat NAND, teknologi yang sama seperti pemacu kilat USB. Ia tiada bahagian bergerak, menjadikannya sepenuhnya elektronik. Data diakses secara serta-merta oleh pengawal yang mencari alamat fail pada cip memori.

 

Perbandingan ciri-ciri HDD dan SSD

 

Kelajuan merupakan faktor utama pengguna beralih kepada menggunakan SSD. SSD mengakses data hampir serta-merta, manakala HDD perlu menggerakkan kepala baca / tulis dan menunggu cakera berputar ke kedudukan betul. Selain itu, masa boot iaitu masa untuk menghidupkan SSD hanya mengambil beberapa saat berbanding dengan HDD yang mengambil 30 saat atau lebih. Dari segi kelajuan pemindahan fail, kelajuan SSD boleh mencapai 7,000 MB/s, manakala HDD hanya sekitar 250 MB/s. Untuk pengguna yang menggunakan komputer untuk permainan gaming, SSD berkebolehan untuk memuatkan permainan lebih pantas dan mengelakkan hitching (terhenti seketika) yang sering berlaku dengan penggunaan HDD yang dianggap perlahan.

Dari segi ketahanan dan kebolehpercayaan, SSD merupakan pilihan yang lebih unggul kerana ianya tidak ada bahagian bergerak menjadikannya lebih tahan terhadap kejutan, getaran, dan apabila terjatuh. Jika komputer riba menggunakan HDD dan ianya jatuh semasa dihidupkan, kepala baca / tulis boleh terhempas ke cakera, menyebabkan kehilangan data yang mungkin sukar untuk dipulihkan dan dalam situasi seperti ini SSD berkemungkinan lebih tahan. Dari aspek kos dan kapasiti muatan, HDD mempunyai kos lebih rendah kerana teknologi yang digunakan lebih tua dan murah untuk dihasilkan. Harga peranti HDD dengan kapasiti muatan 2TB akan mempunyai harga lebih rendah berbanding SSD yang mempunyai kapasiti yang sama.

Ciri-ciri lain yang membezakan HDD dan SSD ialah pada aspek bunyi. HDD menghasilkan bunyi seperti dengung atau klik dan haba kerana cakera berputar. Ia juga menggunakan lebih elektrik dari, yang boleh menyebabkan bateri, jika menggunakan, komputer riba cepat habis. SSD pula beroperasi secara senyap, menggunakan kuasa elektrik lebih sedikit dan kurang menjana haba. Ramai beranggapan SSD tidak mempunyai ketahanan lama dari segi berapa lama ia dapat digunakan. Memang diketahui, sel memori kilat mempunyai had tulis, tetapi SSD moden dilengkapi teknologi perataan haus yang boleh mengagihkan penulisan data secara merata. Untuk penggunaan biasa, SSD akan bertahan lebih lama daripada komputer itu sendiri. HDD pula, walaupun tiada had kitaran tulis, boleh mengalami kegagalan mekanikal mengejut akibat penggunaan lama.

 

Pilih peranti penyimpanan mengikut kesesuaian

 

Walaupun SSD dan HDD mempunyai perbezaan seperti yang dibincangkan sebelum ini dan dapat di lihat dari segi kelajuan, SSD mempunyai kelebihan ini. Akan tetapi, sebagai pengguna kita juga perlu melihat kepada kesesuaian dan keperluan. Untuk pengguna yang menggunakan komputer untuk kerja-kerja sekolah atau pejabat biasa mungkin mereka tidak perlu peranti penyimpanan lebih laju dan kuat, dan HDD atau pemacu kilat USB ialah mencukupi.

Pengguna yang memerlukan SSD selalunya memerlukan komputer mereka dilengkapi SSD untuk kerja-kerja atau penggunaan komputer lebih berat dan oleh itu mereka perlu peranti yang boleh menambah kelajuan dan kelancaran apabila menggunakan komputer. Contoh penggunaan komputer yang memerlukan SSD ialah untuk permainan PC dan kerja-kerja kreatif seperti pembuatan dan penyuntingan video atau filem. Pengguna juga boleh menggunakan strategi hibrid jika memerlukan kedua-duanya. SSD pantas boleh digunakan untuk sistem pengendalian dan aplikasi utama, dan HDD penyimpanan pukal dan pengarkiban fail.

Ringkasnya, SSD menawarkan kelajuan, ketahanan, dan kecekapan tenaga – sesuai untuk pemacu utama. HDD menawarkan kapasiti besar pada kos rendah – sesuai untuk penyimpanan pukal. Pengguna perlu memahami keperluan sendiri dan memilih mengikut kemampuan dan kesesuaian.