Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
BERAKAS, Rabu, 5 Ogos. - Seramai 120 pelajar terdiri daripada 74 pelajar lelaki dan 46 pelajar perempuan Tahun 11 Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah diraikan setelah menamatkan 30 Juzuk Al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Anggerek, SMB, pagi tadi.
Majlis berkenaan telah dikendalikan oleh Jabatan Huminities, SMB yang mana turut dijayakan oleh penglibatan guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah tersebut.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pengetua SMB, Dayang Hajah Norhashimah binti Haji Burut.
Turut hadir, Timbalan Pengetua Akademik SMB, Awang Mohammad Saiful Azhar bin Moksin; Timbalan Pengetua Pentadbiran SMB, Awang Rosman bin Haji Kasah dan Awang Mohammad Irman bin Yahya serta isteri, Dayang Waniwatty binti Haji Durani, selaku ibu bapa kepada Awang Iman Farhan bin Mohammad Irman iaitu pelajar Tahun 11 Science 2 serta ibu bapa atau penjaga pelajar-pelajar yang diraikan.
Terdahulu, majlis menyaksikan perarakan peserta khatam Al-Quran diiringi dengan bacaan Doa Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah yang diketuai oleh Awang Haji Norhamdiddy bin Haji Ajis@Aji.
Bagi memulakan majlis, bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Mohammad Irman, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang diketuai oleh Awang Md Iman Farhan. Bacaan Doa Khatam dibacakan oleh Awang Md Adli bin Ariffin iaitu pelajar Tahun 11G1.
Manakala Takhtim dan Dikir telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Mohd. Ridha bin Haji Asmat dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.
Dengan pelaksanaan Majlis Khatam Al-Quran sebegini, ia sememangnya dihasrat untuk terus sama-sama menyahut hasrat kerajaan sebagai sebuah Negara Zikir dan memartabatkan falsafah Melayu Islam Beraja yang sekali gus untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, di samping sebagai galakan kepada pelajar-pelajar untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya hidup dan amalan harian.