Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan, hari ini, mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena dengan Sambutan Hari Guru Kali Ke-36, Tahun 2026 di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.
Majlis keagamaan tersebut khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Hadir sama pada majlis petang tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU dan Kementerian Pendidikan.
Acara turut disertai oleh para pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.
Bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Selain sebagai usaha menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 bagi Negara Brunei Darussalam, majlis seumpama itu juga bagi memohon keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala atas majlis yang diadakan, di samping mengenang jasa dan mendoakan para guru yang telah kembali ke rahmatullah.
Tema bagi Majlis Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 ialah 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'.