Bantu mengukuhkan asas Matematik, meningkatkan keyakinan mengira

14 Og 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Math Learning Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Nuqra Math telah mengadakan Bengkel Genius Sifir pada 10, 12 dan 13 Ogos 2026 di tiga lokasi berbeza, iaitu Jerudong, Kiulap dan Lambak, sebagai kesinambungan kepada program cuti sekolah anjuran Nuqra Quranic.

Bengkel yang diadakan pada sebelah petang berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memanfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti Matematik yang menyeronokkan, selepas mengikuti aktiviti Quranic pada sebelah pagi.

Melalui Bengkel Genius Sifir, peserta didedahkan kepada teknik pembelajaran sifir yang lebih mudah dan interaktif bagi membantu mereka mengukuhkan asas Matematik serta meningkatkan keyakinan dalam mengira.

Konsep 'Pagi Quranic, Petang Genius Sifir' turut memberi kemudahan kepada ibu bapa yang bekerja kerana anak-anak dapat mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti pendidikan yang bermanfaat sepanjang hari.

Penganjuran bengkel di tiga lokasi berkenaan merupakan antara usaha Nuqra Math untuk mendekatkan pembelajaran Matematik kepada kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami.