BBCSG anjur Hari Memperkasa Pejuang Pesakit Kanser

26 Okt 2026 - 6:44am

Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Ihsan Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei

KIULAP, Ahad, 25 Oktober. - Dengan matlamat murni bagi terus membantu para pesakit dan ‘survivor’ kanser memperkasa diri dalam mendepani kehidupan masa kini dan masa hadapan yang baik sekali gus mengeratkan silaturahim serta bertukar-tukar fikiran dan pengalaman bersama, Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Brunei Breast Cancer Support Group - BBCSG) telah berjaya menganjurkan Program Hari Memperkasa Pejuang Pesakit Kanser bertempat di The Daun, Kiulap, hari ini.

Program yang merupakan salah satu acara bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara itu antaranya turut bertujuan sebagai salah satu cara untuk mengingatkan kepada para pesakit dan ‘survivor’ kanser untuk terus menjaga kesihatan mereka, baik melalui pengambilan pemakanan dan persekitaran yang kondusif.

Antara yang hadir sepanjang program berlangsung ialah Presiden BBCSG, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin; Timbalan Presiden BBCSG, Dayang Hajah Linda Aini binti Abdullah dan Setiausaha Agung BBCSG, Datin Ratu Hajah Dayang Jaliha binti PHH Momin.

Juga hadir, Bendahari BBCSG, Profesor Madya Dr. Hajah Masrinawati binti Haji Abdul Hamid; Timbalan Bendahari BBCSG, Dayang Hajah Jainah binti Haji Musa; Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir BBCSG, golongan ‘survivor’ kanser serta para jemputan khas.

Sehubungan itu, Dayang Hajah Aminah dalam ucapan alu-aluan antaranya merakamkan kesyukuran dengan adanya detik perhimpunan di program sedemikian yang merupakan kali ke-5 diadakan sejak tahun 2017 di mana matlamat penubuhan BBCSG ini adalah untuk memberi sokongan dari segi tekanan emosi, kaunseling, memberi maklumat yang betul serta membantu para pesakit mencapai tahap pemulihan yang maksimal dari segi fizikal, psikologi dan kosmetikal.

Di samping itu, jelasnya lagi, BBCSG juga memberi sokongan kepada wanita-wanita yang pernah mengalami kanser payudara untuk mengongsikan pengalaman mereka kepada pesakit-pesakit kanser payudara yang lain terutama dalam mengatasi ketakutan, kecemasan, tekanan yang mereka hadapi sehari-hari. Dengan matlamat ini, mereka daripada Ahli Jawatankuasa BBCSG mengadakan program tersebut.

Dalam pada itu, Dayang Hajah Aminah turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DKSH Brunei iaitu syarikat penyedia perkhidmatan pergudangan dan pengedaran terkemuka bagi produk farmaseutikal dan peranti perubatan, yang baru-baru ini telah menghulurkan sumbangan untuk BBCSG melaksanakan dan menjayakan program pada hari ini.

Selain itu, Presiden BBCSG juga menaruh harapan agar dengan adanya program seperti ini akan dapat memberi kesedaran kepada setiap keluarga dan masyarakat di negara ini tentang mustahaknya mengambil peranan dan memahami situasi sekarang bahawa kanser payudara merupakan kanser paling kerap berlaku dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan wanita di Malaysia dan mungkin juga di negara kita.

Program berkenaan telah diserikan dengan perkongsian cerita pejuang kanser, persembahan tausyeh, bacaan puisi dan juga menambang syair serta menikmati makan tengah hari bersama.

Di samping itu, program sebegini juga dihasrat untuk menjalin hubungan kekeluargaan dan masyarakat dengan penuh mesra dan harmoni melalui kegiatan-kegiatan sihat untuk menghibur mereka seperti bertausyeh, bercerita, aktiviti-aktiviti fizikal dan beriadah yang boleh menceriakan hidup mereka.