Berkenan melawat Pangkalan Udara Sembawang

24 Okt 2026 - 7:15am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 23 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat melawat Pangkalan Udara Sembawang pada sebelah pagi, hari ini, yang dihoskan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam dan Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Zaqy Mohamad.

Semasa lawatan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berkenan menandatangani buku tetamu dan disembahkan taklimat mengenai peranan dan keupayaan Special Operations Task Force.

Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyertai penerbangan operasi khas dengan menaiki helikopter H225M ke beberapa lokasi. Tahun ini juga menandakan Ulang Tahun Ke-50 Kerjasama Pertahanan di antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura, yang telah diraikan dengan Perbarisan Gabungan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei pada 10 Oktober 2026.

Sementara itu, pada sebelah petang, DYTM berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Menteri Luar Negeri Republik Singapura, di Kementerian Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan.

Kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan istimewa dan unik di antara NBD dan Republik Singapura, menerokai peluang untuk memajukan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang kepentingan bersama.