Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Walkathon 2026 baru-baru ini bermula di kawasan letak kereta VIP, kementerian berkenaan, mengelilingi Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar dan diakhiri di bangunan Kementerian Kewangan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada aktiviti tersebut ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya berserta pegawai dan kakitangan dari Brunei Darussalam Central Bank.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan senaman pemanasan badan dan diteruskan dengan larian pertandingan Competitive Run’ sejauh 5 kilometer (km), larian rekreasi ‘Fun Run’ 2km dan diikuti dengan ‘Competitive Platinum’ 3km.
Walkathon 2026 diadakan adalah merupakan inisiatif kementerian ini dalam mengimbang kesihatan mental dan fizikal, yang mana aktiviti sukan bukan sahaja ia dapat menyihatkan badan bahkan ia dapat mewujudkan kecerdasan minda dan fizikal serta di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian ini serta jabatan-jabatan di bawahnya. Aktiviti Walkathon 2026 pada tahun ini dikelolakan oleh Agensi Pelaburan Brunei, Kementerian Kewangan.