Kerjasama diperkukuh ketengahkan produk tradisional berasaskan ubi kayu

26 Okt 2026 - 6:19am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Hajah Faridah Haji Mohd. Taufik

KIULAP, Ahad, 25 Oktober. – Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara RAB Global Green Sdn. Bhd. dan Kumpulan Langkah Mulia diadakan di Higher Hotel, di sini.

MoU berkenaan adalah sebagai usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam mengetengahkan produk makanan tradisional tempatan berasaskan ubi kayu.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Peraduan Membuat Kuih-Muih Berasaskan Ubi Kayu yang dianjurkan sebagai projek perintis bagi mempromosi bahan makanan tradisional tempatan, sekali gus menyokong persediaan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).

Hadir pada majlis berkenaan ialah ahli jawatankuasa, para jemputan serta ahli-ahli yang terlibat.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Majlis Perniagaan Wanita (WBC), Dayang Hajah Mordiah binti Haji Jackia.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan menandatangani MoU oleh Pengarah Eksekutif RAB GLOBAL GREEN Sdn. Bhd., Dayang Iffah Billah binti Junaidi; dan wakil Kumpulan Langkah Mulia, Dayang Hajah Norhayati bin Haji Abu Bakar.

Dengan termeterainya MoU berkenaan, ia diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua belah pihak, khususnya dalam memperkasa potensi produk makanan tempatan serta menggalakkan perkembangan bidang keusahawanan.

Pada masa yang sama, Peraduan Membuat Kuih-Muih Berasaskan Ubi Kayu yang diadakan adalah bertujuan bagi mengetengahkan kreativiti dan kemahiran para peserta dalam menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih serta makanan tradisional dengan menggunakan ubi kayu sebagai bahan utama.

Hasil pertandingan menyaksikan Dayang Hajah Faridah muncul sebagai pemenang tempat pertama, diikuti Dayang Noreni di tempat kedua, manakala Dayang Rosiah menduduki tempat ketiga.

Penganjuran peraduan seumpama berkenaan bukan sahaja menyediakan platform kepada peserta untuk menampilkan bakat dan kemahiran dalam penyediaan makanan, malah turut menyumbang kepada usaha memelihara warisan kulinari tradisional serta menggalakkan inovasi dalam penghasilan produk makanan tempatan.