Kongsi amalan terbaik membanteras jenayah dadah

14 Og 2026 - 8:19am

Siaran Akhbar dan Foto : Biro Kawalan Narkotik

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. – Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD) kali Ke-47 yang diadakan secara dalam talian pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail merangkap Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan disertai beberapa pegawai kanan dari BKN.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kehakiman Thailand selaku negara tuan rumah, Tuan Yang Terutama Police Lieutenant General Rutthaphon Naowarat dan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Narcotics Control Board Thailand, Tuan Apikit Ch.rojprasert.

Mesyuarat menghimpunkan pegawai-pegawai kanan dari negara anggota ASEAN bagi membincangkan keutamaan ASEAN serta memperkukuhkan kerjasama serantau dalam membanteras isu dadah yang semakin berkembang di rantau ini.

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pelancaran Laporan ASEAN Drug Monitoring (ADM) 2026 yang merumuskan trend dadah terkini serta perkembangan berkaitan dadah di negara-negara ASEAN sepanjang tahun 2025.

Melalui mesyuarat itu, negara-negara anggota ASEAN berpeluang bertukar maklumat mengenai situasi dadah di negara masing-masing serta berkongsi amalan terbaik dalam membanteras jenayah dadah, khususnya dalam bidang pendidikan pencegahan, penguatkuasaan undang-undang, rawatan dan pemulihan, penyelidikan serta kerjasama antarabangsa.

Negara-negara anggota ASEAN juga mengadakan sesi konsultasi bersama rakan-rakan dialog ASOD, iaitu Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Australia, Republik India dan Persekutuan Rusia, selain organisasi antarabangsa bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam menangani cabaran jenayah rentas sempadan yang melibatkan dadah.

NBD menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog dalam memperkukuhkan kerjasama serantau serta menyokong aspirasi ASEAN ke arah merealisasikan visi ASEAN Bebas Dadah.