Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Ihsan Pusat Pembangunan Belia
TANAH JAMBU, Ahad, 25 Oktober. - Kumpulan Az-Zakirun dengan membawakan lagu Dikir Alhamdulillah melakar kejayaan manis apabila berjaya merangkul gelaran johan dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam Peringkat Akhir yang berlangsung dengan penuh meriah di Surau Al-Fauzan, Pusat Pembangunan Belia (PPB), baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Bahagian Kerohanian dan Keagamaan, PPB itu menyaksikan persaingan sengit daripada lima kumpulan pelatih yang terdiri daripada pelatih lelaki dan wanita.
Menyusul di tempat kedua sebagai naib johan ialah Kumpulan Nurul A'la dengan membawakan Dikir Bisyahrin, manakala Kumpulan Sang Buana dengan lagu Dikir Khairuman menduduki tempat ketiga. Dua lagi kumpulan pelatih yang turut bersaing memberikan persembahan terbaik mereka ialah Kumpulan Jamalul Alam dan Kumpulan Az-Zahra.
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat yang sekali gus menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para peserta pertandingan dan juga penghargaan kepada hakim-hakim pertandingan ialah Ketua Guru Ugama PPB, Awang Haji Masfourteen bin Awang Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir pada acara tersebut ialah pegawai dan kakitangan PPB; ahli jawatankuasa dan penyelaras pertandingan serta para pelatih.
Sejurus menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum pertandingan akhir bermula, yang turut diserikan dengan Persembahan Tausyeh daripada Kumpulan Syababur Rahmah.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penyampaian cenderahati kepada para hakim jemputan, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai sebelum bersurai.