Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 22 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ISEAS-Yusof Ishak Institute dan Temasek Holdings dalam rangka Lawatan Pengenalan ke Republik Singapura dari 21 hingga 23 Oktober 2026.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen pada sebelah pagi berkenan berangkat mengadakan sesi perbincangan bersama para penyelidik dari ISEAS-Yusof Ishak Institute, Lee Kuan Yew School of Public Policy, serta East Asian Institute dan Middle East Institute, National University of Singapore.
Sesi yang dihoskan oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif ISEAS-Yusof Ishak Institute, Tuan Ng Chee Khern, memberi peluang untuk kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pandangan mengenai landskap geopolitik serantau dan antarabangsa.
Selepas perbincangan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan melawat perpustakaan institut dan menandatangani buku tetamu.
Sementara itu dalam program berasingan, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam berkenan mengadakan lawatan ke M.Y World Dawson Preschool. Lawatan berkenaan dihoskan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah telah disembahkan taklimat mengenai perkembangan pendidikan awal kanak-kanak.