Latihan AUN-QA tingkatkan keupayaan penilaian program pengajian

16 Okt 2026 - 7:39am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan

GADONG, Khamis, 15 Oktober. - Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan serta tenaga akademik dari Institusi Pengajian Tinggi awam dan swasta berjaya menamatkan latihan AUN-QA Training Course for Accomplishing Programme Assessment (Tier 1) selama empat hari yang bermula pada 12 Oktober 2026 lalu bertempat di The Centrepoint Hotel, Gadong.

Kursus latihan intensif tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi dan ASEAN University Network - Quality Assurance (AUN-QA).

Sehubungan itu, majlis penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad, yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Terdahulu, Setiausaha Kerja Urus Setia MKPK, Awang Haji Mohd. Fadzillah bin Haji Abdullah, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan kepada para jurulatih dan peserta atas komitmen serta penglibatan mereka sepanjang kursus.

Beliau menekankan bahawa penganjuran latihan ini merupakan salah satu inisiatif strategik Urus Setia MKPK bersama Jabatan Pengajian Tinggi dalam usaha memperkukuh pembangunan kapasiti pegawai dan tenaga akademik dalam bidang jaminan kualiti.

Latihan ini diharap dapat meningkatkan keupayaan penilaian dalaman institusi, di samping menyemai budaya penambahbaikan berterusan bagi memperkukuh mutu pengajian tinggi di negara ini.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Ornsiri Cheunsuang selaku ‘lead trainer’ menjelaskan bahawa kursus ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai ekosistem jaminan kualiti, rangka kerja AUN-QA, kriteria penilaian, serta pendekatan PDCA bagi penilaian kendiri di peringkat program.

Beliau turut menambah bahawa latihan ini memberi peluang kepada peserta untuk menjalankan analisis jurang program dan memperbaiki sistem jaminan kualiti bagi menutup jurang yang dikenal pasti.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada model AUN-Quality Assurance dan dilatih mengenal pasti elemen penting ekosistem jaminan kualiti, memahami rangka kerja AUN-QA, serta mengaplikasikan kriteria penilaian program secara sistematik.

Latihan ini dikendalikan oleh tiga pakar AUN-QA iaitu Profesor Madya Dr. Ornsiri Cheunsuang, Profesor Dr. Clarita D. Carillo, dan Dr. Sharul Tarajiman bin Haji Tajuddin.