Majlis Dikir Syarafil Anam semarakkan sambutan Maulidur Rasul

14 Og 2026 - 7:58am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

MADANG, Khamis, 13 Ogos. - Sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Kampung Manggis Madang pada hari ini mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan syiar Islam serta menzahirkan rasa kasih dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis ini diserikan dengan penyertaan para pedikir daripada MSSBRPAD; Kumpulan Penghulu dan Ketua Kampung Zon 2; Kumpulan Al-Mukmin, pedikir dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan; dan Al-Busyra Islamic Event Management.

Turut hadir ialah para Penasihat, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid MSSBRPAD serta para jemaah masjid.

Sementara itu, Doa Dikir dipimpin oleh Awang Nuzli bin Haji Jumat, manakala Doa Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Razman bin Haji Ramlee.

Majlis-majlis Dikir sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam ini akan diadakan secara berturut-turut selama 12 malam, sebagai usaha bersama untuk menghidupkan syiar Islam, memperbanyakkan selawat dan zikir serta menyemarakkan kecintaan umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sehubungan itu, para penduduk Mukim Berakas ‘A’ dan Berakas ‘B’ serta orang ramai adalah sangat dialu-alukan untuk hadir bersama-sama memeriahkan majlis yang penuh keberkatan ini dan mengambil kesempatan ini untuk memperbanyakkan selawat dan zikir, menghayati sirah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memperbaharui rasa kasih dan cinta kita kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.