Oleh : Nurhamiza Haji RoslanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menyatakan bahawa bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, negara memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh melalui pendekatan Whole of Government.
Ini bermakna jelas Yang Berhormat, kementerian dan agensi perlu bergerak secara bersepadu, saling melengkapi dan berpandukan matlamat bersama, bukan melaksanakan usaha secara berasingan.
Kongsi Yang Berhormat, sebagai contoh, isu kebolehpasaran tenaga kerja bukan hanya berkaitan dengan pendidikan tetapi turut melibatkan latihan kemahiran, keperluan industri, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, penyertaan sektor swasta dan peningkatan produktiviti.
“Begitu juga, kesejahteraan rakyat melibatkan kesihatan, pendidikan, perumahan, keselamatan, kemudahan awam, alam sekitar dan pembangunan masyarakat.
“Oleh itu, bagi setiap sasaran utama Wawasan Brunei 2035, adalah penting untuk mempunyai kementerian atau agensi peneraju yang jelas, kementerian dan agensi sokongan yang dikenal pasti, sasaran dan tempoh pelaksanaan yang tersusun, petunjuk prestasi yang bersesuaian, serta mekanisme pemantauan dan penilaian yang berterusan,” terang Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, penyelarasan yang jelas dapat mengurangkan pertindihan program, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memastikan setiap usaha benar-benar menyumbang kepada matlamat nasional.
Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat, boleh dipertimbangkan suatu Papan Pemuka Kemajuan Wawasan Brunei 2035 sebagai mekanisme pemantauan berasaskan data yang dapat melihat kemajuan dalam bidang pendidikan dan kemahiran, kebolehpasaran tenaga kerja, produktiviti, kepelbagaian ekonomi, kualiti kehidupan, kecekapan perkhidmatan kerajaan, transformasi digital dan kelestarian alam sekitar.
Melalui pemantauan yang tersusun, pencapaian dapat dikenal pasti dengan lebih jelas dan bidang yang memerlukan perhatian dapat ditangani lebih awal serta berkesan, jelas Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan dalam menyokong Wawasan Brunei 2035, ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan perlu terus diperkukuhkan. Ekonomi yang kukuh bukan hanya diukur melalui pertumbuhan angka, tetapi juga melalui keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti, memperkukuh perusahaan tempatan, mengembangkan sektor ekonomi baharu serta menghadapi perubahan dan cabaran ekonomi global.
“Dalam hal ini, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana perlu terus diperkasa melalui pembangunan kapasiti, bimbingan, akses kepada pasaran dan sokongan yang bersesuaian. Penyelarasan antara kementerian, agensi pembangunan ekonomi, institusi kewangan, sektor industri dan masyarakat perlu memastikan bahawa program serta bantuan yang disediakan benar-benar membantu perusahaan berkembang dan menjadi lebih berdaya tahan.
“Kejayaan program ekonomi tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah kursus, geran atau penyertaan tetapi juga melalui peningkatan keupayaan dan hasil perusahaan, pertumbuhan perniagaan, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta keupayaan perusahaan untuk berkembang secara mampan,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga menggariskan kemajuan negara hendaklah sampai dan dapat dirasai di peringkat mukim dan kampung. Pembangunan yang berkesan memerlukan hubungan yang kukuh antara dasar nasional dengan keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
Ujar Yang Berhormat, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung boleh terus diperkasa sebagai rakan strategik kerajaan dalam mengenal pasti keperluan masyarakat, menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan, menggerakkan penyertaan rakyat, membangunkan potensi ekonomi tempatan serta melaksanakan program kemasyarakatan.
Yang Berhormat menyatakan masyarakat tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima program, tetapi sebagai rakan pembangunan. Penduduk setempat mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengenai keadaan kawasan, keperluan masyarakat, potensi ekonomi serta cabaran yang dihadapi.
Oleh itu, tambah Yang Berhormat, pendekatan Whole of Nation perlu terus diperkukuhkan supaya rakyat, sektor swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti dapat bersama-sama menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Pembangunan dari bawah atau ‘bottom-up development’ juga perlu diseimbangkan dengan perancangan nasional supaya dasar dan program yang dilaksanakan benar-benar bersesuaian dengan keadaan serta keperluan setempat, jelas Yang Berhormat.