Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Penyelarasan yang berkesan antara kementerian dan agensi kerajaan, di samping pemerkasaan sektor swasta, merupakan antara faktor penting dalam mempercepat pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan perkara tersebut ketika menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat berkata, usul tersebut wajar disokong sepenuhnya bagi memastikan Wawasan Brunei 2035 bukan sekadar menjadi agenda perancangan, malah dapat dilaksanakan mengikut jadual, mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan serta memberikan hasil yang nyata melalui penyelarasan bersama semua pihak berkepentingan.
Menurut Yang Berhormat, antara cabaran yang dihadapi sebelum ini ialah kurangnya penyelarasan strategi dan dasar antara kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus menyebabkan pelaksanaan dasar lebih tertumpu kepada agenda kementerian masing-masing akibat amalan kerja secara ‘silos’.
“Ini menimbulkan keadaan di mana sesuatu tindakan itu tidak sehaluan dan tidak saling menyokong, malah ada yang bertentangan antara satu jabatan atau kementerian dengan jabatan, kementerian yang lain,” ujar Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menyokong usaha memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian secara berterusan bagi mengelakkan pertindihan, serta menghapuskan budaya kerja 'silos', dengan hala tuju yang jelas untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat turut menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar isu pengangguran ditangani secara lebih berkesan.
Menurut Yang Berhormat, peningkatan jumlah pencari kerja, khususnya dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, lepasan sekolah serta mereka yang ingin mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik, memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.
Tambah Yang Berhormat, pengangguran adalah antara punca utama bertambahnya bilangan yang memohon bantuan kerajaan untuk kesinambungan hidup.
Yang Berhormat menjelaskan bahawa peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan adalah terhad dan tidak dapat menampung semua pencari kerja, justeru sektor swasta perlu diperkasakan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.
“Kaola yakin dengan adanya ekosistem yang bersesuaian, pekerjaan di sektor swasta dapat bertambah untuk menarik pekerja tempatan, mampu memberi pendapatan yang lumayan dan prospek pekerjaan jangka panjang.
“Sebagaimana yang sering kita katakan, sektor swasta sebagai jentera pertumbuhan (private sector as an engine of growth), maka seharusnyalah kita berusaha untuk mengembang-majukan sektor swasta bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan di sektor Kerajaan atau sektor minyak dan gas semata-mata.
“Kita perlu mempunyai dasar dan strategi yang menyokong pertumbuhan sektor swasta di negara ini, memberi dukungan dan dorongan secara positif, dan memberi insentif tertentu agar mereka berupaya dan berkemampuan untuk berkembang dan memainkan peranan dalam pembangunan,” tegas Yang Berhormat.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan memudah cara proses penubuhan dan operasi perniagaan, termasuk mempercepatkan urusan pendaftaran syarikat, kelulusan lesen, pengambilan pekerja, penggunaan premis, serta penyediaan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air.
Menurut Yang Berhormat, semua proses tersebut memerlukan penyelarasan di semua peringkat untuk memudah cara perniagaan berpandukan garis pandu 'Ease of Doing Business' untuk menuju ke Wawasan Brunei 2035.