Memupuk generasi celik Al-Quran, mencintai masjid

14 Og 2026 - 8:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Dalam usaha memupuk semangat dalam kalangan murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara agar celik Al-Quran serta menjadikannya sebagai amalan harian yang berterusan, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Bahagian Imarah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen mengadakan Pertandingan Membaca Surah Al-Fatihah dan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Ke-80, Tahun 2026 pada pagi tadi.

Pertandingan berkenaan telah diadakan di Masjid Ash-Shaliheen.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, JHEM, KHEU, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Antara tujuan pertandingan berkenaan diadakan adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang mampu membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna, memandangkan bacaan Al-Quran merupakan salah satu rukun dalam sembahyang.

Selain itu, pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak membaca Al-Quran sebagai amalan harian serta meningkatkan kesedaran dan minat mereka terhadap Al-Quran.

Acara berkenaan turut dihasratkan untuk melahirkan lebih ramai kanak-kanak yang celik Al-Quran dan seterusnya menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum. Di samping itu, pertandingan berkenaan dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan peserta, khususnya.

Seramai 49 peserta telah menyertai pertandingan berkenaan yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 'A', bagi peserta berumur antara tujuh hingga sembilan tahun, lelaki dan perempuan; manakala Kategori 'B' bagi peserta berumur antara 10 hingga 12 tahun, lelaki dan perempuan.

Semoga dengan adanya pertandingan seumpama berkenaan akan dapat menampilkan para peserta yang berbakat dalam pelbagai bidang. Di samping itu, pertandingan berkenaan diharap dapat mencungkil bakat dalam kalangan kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam, serta memupuk kecintaan mereka terhadap Al-Quran agar menjadikannya sebagai teman dalam kehidupan.

Usaha seumpama berkenaan juga diharap dapat menarik lebih ramai kanak-kanak untuk mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan di masjid-masjid, khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam, sekali gus memupuk generasi yang celik Al-Quran dan mencintai masjid.