Mesyuarat tekankan kepentingan sistem kesihatan berdaya tahan, mampan

14 Og 2026 - 8:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat Negara

PHNOM PENH, KEMBOJA, Rabu, 13 Ogos. - Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Dilantik iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Yusof dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin telah menyertai Mesyuarat Ke-9 Ahli Parlimen Asia-Pasifik Mengenai Kesihatan Global (9th Meeting of the Asia-Pacific Parliamentarian Forum on Global Health) yang berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos 2026 di Phnom Penh, Kemboja.

Bertemakan ‘Universal Health Coverage in the Era of Climate Change and Artificial Intelligence’, mesyuarat telah membincangkan kemajuan dan cabaran dalam mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage), dengan tumpuan kepada peranan tadbir urus parlimen, kesan perubahan iklim terhadap kesihatan serta Kecerdasan Buatan (AI) dalam memperkukuh sistem kesihatan.

Delegasi MMN turut berkongsi pengalaman negara dalam memperkukuh penjagaan kesihatan primer, pencegahan penyakit serta menangani cabaran penyakit tidak berjangkit dan penuaan penduduk ke arah sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan.

Delegasi juga mengikuti lawatan kerja ke Wilayah Kampot bagi melihat secara langsung penyampaian penjagaan kesihatan di peringkat komuniti. Di akhir mesyuarat, satu komunike Phnom Penh telah diterima pakai sebagai komitmen bersama dalam memajukan Liputan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage) di rantau ini.