NBD berada dalam Monsun Barat Daya

16 Og 2026 - 5:59am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung September 2026. Semasa Monsun Barat Daya, keadaan atmosfera di NBD lazimnya lebih stabil, menyebabkan cuaca yang agak panas dan kering serta hujan dan hujan petir kurang berlaku.

Sejak 6 Ogos yang lalu, tiada turunan hujan yang signifikan direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Setakat ini, jumlah turunan hujan yang direkodkan bagi Ogos 2026 adalah sebanyak 101.5mm, iaitu sekitar 56 peratus lebih rendah berbanding jumlah purata normal bagi Ogos, iaitu 231.5mm.

NBD telah mengalami keadaan cuaca panas melampau sebanyak 8 hari pada bulan ini iaitu pada 8 hingga 15 Ogos 2026.

Bagi bulan ini, beberapa Stesen Pencerapan Cuaca Automatik, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah merekodkan suhu maksimum harian tertinggi sekurang-kurangnya 35 darjah celsius pada hari-hari berikut yang dipaparkan dalam rajah dan gambar yang disediakan.

Pada hari ini, Sabtu, 15 Ogos 2026, terdapat lima kawasan telah merekodkan keadaan cuaca panas melampau iaitu Bandar Seri Begawan, Anggerek Desa, Lakiun, Bangar dan Labi manakala terdapat lima kawasan lain yang telah merekodkan suhu cuaca panas luar biasa iaitu LTAB, Lumapas, Sinaut, Benutan dan Kuala Belait.

Aktiviti turunan hujan dijangka berlaku di beberapa kawasan NBD terutamanya di kawasan pedalaman bermula 15 hingga 19 Ogos 2026. Walau bagaimanapun, keadaan cuaca diramalkan kembali panas dan kering dengan aktiviti turunan hujan yang minimum sehingga hujung bulan ini. Manakala, suhu maksimum harian dijangkakan berada dalam lingkungan 33 darjah celsius hingga 36 darjah celsius.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian dan seterusnya mengambil langkah langkah berpatutan berikutan keadaan cuaca panas dan kering.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114. Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).