Operasi Bersih : 3 syarikat kena kompaun

27 Okt 2026 - 6:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Bersih dengan kerjasama agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam Eksais Diraja dan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.

Operasi ini menyasarkan sebuah rumah pekerja asing di Kampung Mentiri. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa longgokan sampah yang dibuang secara tidak teratur di kawasan berhampiran kediaman berkenaan.

Perbuatan sedemikian merupakan satu pelanggaran undang-undang yang serius, selain berpotensi mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan tahap kesihatan dan ketenteraman kejiranan kampong.

Pihak Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengambil tindakan mengeluarkan tawaran kompaun serta memberi amaran kepada pihak terbabit agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran sentiasa terpelihara.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Barman Sdn. Bhd. dikenakan kompaun BND1,000 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (a) manakala Dolakanan Sdn. Bhd. dikenakan kompaun BND2,000 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (d) dan Rani Jaya B Sdn. Bhd. dikenakan kompaun BND2,000 atas kesalahan di bawah Bab 12 (1) (d).

Tawaran kompaun bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan adalah pada 22 Oktober 2026.

Syarikat-syarikat tersebut telah diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dalam masa tujuh hari. Jika gagal, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30) iaitu sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak melebihi BND30,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Pihak jabatan juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui pesanan WhatsApp di talian +673 8321581.