Pakaian tradisi lambang identiti, warisan, jati diri masyarakat

6 Og 2026 - 4:27am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

TEMBURONG, Rabu, 5 Ogos. - Setiap masyarakat mempunyai adat dan budaya mereka yang tersendiri di mana ia merupakan simbolik yang penting khususnya bagi menjunjung nilai identiti kebudayaan dan warisan dalam sesebuah jati diri masyarakat itu sendiri.

Setiap sentuhan pakaian tradisi yang diperagakan pastinya memiliki ‘nilai sentimental’ yang mampu mengimbau kita akan asal-usul sejarah silam. Meskipun si pemakainya berbeza usia namun segak bergaya dan anggun jelita bersulam semangat memperjuang nilai warisan dalam sanubari mereka tetap terpancar aura serinya pada keterampilan mereka.

Baru-baru ini, satu peluang berharga apabila Pelita Brunei berkesempatan menyaksikan dan menemu bual beberapa golongan etnik dan masyarakat yang berpakaian tradisi dan mempersembahkan pelbagai kesenian yang mereka miliki sejak turun-temurun.

Yang Dipertua Persatuan Lun Bawang Murut Brunei Darussalam (PLBMB), Leftenan Kolonel (B) Tamin bin Tuah semasa ditemui di salah sebuah kem bagi sama-sama menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja semasa berlangsungnya Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 2026 berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, baru-baru ini menjelaskan pada tahun ini, PLBMB berjaya mempersembahkan tujuh pengisian utama iaitu Tarian Menyambut Raja (Alai Ngapu Lun Rayeh), Persembahan Bamboo Band, Persembahan Muzik Sape, Persembahan muzik Guling Tangan, Demonstrasi Adat Perkahwinan Tradisional Murut, Tarian Anak Adi Delai dan Pameran Kraf Tangan Tradisional dan Hasil Seni Puak Murut.

Kesemua persembahan ini jelasnya menggambarkan kekayaan budaya, adat resam, muzik tradisional dan nilai-nilai warisan yang masih diamalkan sehingga hari ini.

Beliau antaranya berkongsi lanjut, Tarian Menyambut Raja (Alai Ngapu Lun Rayeh) merupakan satu tarian yang dipersembahkan oleh empat penari wanita sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada tetamu kenamaan, khususnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ia melambangkan sambutan penuh hormat, kemesraan, keamanan dan kesejahteraan.

Persembahan Bamboo Band pula, jelasnya menyerlahkan penggunaan alat muzik yang diperbuat daripada buluh seperti seruling, ‘bass’, ‘res’ dan ‘tubung’ (peralatan gendang) dan lagu yang dimainkan ialah lagu Selamat Hari Ulang Tahun. khas bagi meraikan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Ia melambangkan kreativiti masyarakat dalam memanfaatkan sumber alam sebagai alat seni dan hiburan.

“Dalam Persembahan Muzik Sape, sejenis alat muzik tradisional yang dinamakan Sape digunakan yang mana si pemain muzik akan menghasilkan alunan lembut dan mendamaikan. Ia sering dimainkan bagi mengiringi tarian tradisional, upacara kebudayaan dan majlis keramaian. Bunyinya melambangkan keharmonian, ketenangan dan perpaduan masyarakat.

“Manakala Tarian Anak Adi Delai pula melambangkan peralihan seorang anak ke alam remaja dan kedewasaan. Pada zaman dahulu, tarian ini mempunyai kaitan dengan adat serta upacara tradisional Masyarakat Murut. Namun, pada masa ini ia dipersembahkan sebagai warisan budaya dalam majlis-majlis rasmi dan kebudayaan bagi memastikan ia terus dikenali oleh generasi akan datang,” ujarnya lagi.

Ketika diajukan mengenai keunikan pakaian tradisi perempuan dan lelaki yang ditampilkan pada majlis berkenaan, Yang Dipertua PLBMB menjelaskan para peserta telah memperagakan pakaian tradisional masyarakat Lun Bawang Murut yang masih mengekalkan keaslian reka bentuk serta nilai warisannya.

“Pakaian wanita diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang dihiasi sulaman manik-manik asli serta aksesori tradisional seperti Petaa (hiasan kepala), Beret (ikat pinggang), gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki.

“Warna hitam melambangkan keanggunan, kematangan dan keteguhan jati diri masyarakat. Manakala hiasan manik melambangkan kehalusan seni, kemahiran kraf tangan dan status pemakai. Nilai sepasang pakaian lengkap bersama aksesori boleh mencecah antara BND800 hingga BND1,500, bergantung kepada keaslian bahan, corak, usia aksesori dan tahap kesukaran pembuatannya,” kongsinya lagi.

Leftenan Kolonel (B) Tamin seterusnya menjelaskan bagi pakaian tradisi lelaki dalam masyarakat Lun Bawang Murut diperbuat daripada kulit kayu timbatan yang dikenali sebagai Baduh Talun.

“Penghasilannya memerlukan proses yang rumit bermula daripada pemilihan kulit kayu, pemprosesan, pengeringan sehingga menjadi helaian yang boleh dipakai. Proses ini mengambil masa sekitar satu hingga dua bulan bergantung kepada keadaan cuaca. Pakaian tersebut melambangkan hubungan rapat masyarakat Murut dengan alam semula jadi, sifat berdikari dan kemahiran tradisional yang diwarisi turun-temurun,” ujarnya.

Sementara itu, Pelita Brunei turut berpeluang menyaksikan keindahan budaya pakaian tradisi masyarakat Iban di salah sebuah kem yang diketengahkan oleh ahli Persatuan Masyarakat Iban Temburong semasa berlangsungnya majlis tersebut.

Yang Dipertua Persatuan Masyarakat Iban Temburong, Janlita anak Mingan semasa ditemu bual antaranya berkata pakaian tradisi masyarakat Iban dikenali sebagai Ngepan Iban. Bagi wanita, pakaian ini terdiri daripada Bidang (kain tenunan), Kalambi (baju), Selampai (selempang) dan pelbagai perhiasan perak seperti Sugu Tinggi, Marik Empang, dan Tumpa Bentuk. Bagi lelaki pula, pakaian tradisi terdiri daripada Sirat (cawat), Gagong (baju kulit haiwan), Dandong (kain selempang) serta hiasan kepala yang dihiasi bulu burung kenyalang.

“Berbicara mengenai simbolik dan makna di sebalik sentuhan pakaian tradisi masyarakat Iban, ia melambangkan identiti, warisan budaya, keberanian, maruah dan status seseorang dalam masyarakat. Motif tenunan yang digunakan sering menggambarkan alam semula jadi, kepercayaan serta nilai kehidupan masyarakat Iban. Pemakaian pakaian tradisi juga menunjukkan rasa hormat terhadap adat dan nenek moyang.

“Pakaian tradisi Iban diperbuat daripada kain tenunan tradisional seperti Pua Kumbu, kapas, dan benang. Perhiasannya pula lazimnya diperbuat daripada perak, manik, tembaga serta dihiasi dengan bulu burung kenyalang dan bahan-bahan semula jadi yang lain,” tambahnya.

Sebelum mengakhiri kata-kata, beliau turut menjelaskan warna yang sering digunakan dalam pakaian tradisi masyarakat Iban ialah hitam, merah, putih, dan kuning. Warna hitam melambangkan kekuatan dan keteguhan, warna merah melambangkan keberanian dan semangat, warna putih melambangkan kesucian dan keikhlasan dan warna kuning melambangkan kemuliaan dan kehormatan.