Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Projek Pembinaan Stesen Janakuasa Bukit Panggal Combined Cycle Gas Turbines Fasa 2 bersama Sinohydro Corporation Limited dari Republik Rakyat China yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Hadir selaku tetamu kehormat bersama Majlis Penandatanganan Kontrak berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Peguam Negara, Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan, serta pegawai-pegawai kanan di JPM dan Kementerian Kewangan.
Kontrak tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan President of Asia Pacific, Sinohydro Corporation Limited, Zhou Jiayi, menandatangani bagi pihak Syarikat Sinohydro Corporation Limited.
Projek ini merupakan satu pembangunan strategik dan penting di bawah Rancangan Kemajuan Negara Brunei Darussalam Ke-12 (RKN12) yang bertujuan untuk mengukuhkan sekuriti bekalan tenaga elektrik.
Ia dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur tenaga negara, menyokong pertumbuhan sosioekonomi yang mampan, meningkatkan kesejahteraan awam, dan memperbaiki kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.
Terdahulu dalam ucaptama yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra menjelaskan perkembangan sektor tenaga elektrik Negara Brunei Darussalam telah menjadi antara tonggak penting dalam menyokong kemajuan ekonomi dan sosial negara, khususnya sejak pengoperasian sistem penjanaan elektrik pertama berkuasa diesel pada tahun 1921.
Seiring dengan pembangunan dan pemodenan negara terangnya, permintaan terhadap tenaga elektrik terus meningkat, sekali gus mendorong kepada pengembangan infrastruktur tenaga serta penggunaan teknologi penjanaan yang lebih cekap.
Antara pencapaian penting sektor berkenaan termasuk pengoperasian loji janakuasa berkuasa gas pertama di Seria pada tahun 1967, penubuhan rangkaian penghantaran elektrik merentas negara serta pengenalan teknologi penjanaan kitaran gabungan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik negara.
Dalam hubungan ini katanya, Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Bukit Panggal Fasa 2 merupakan satu pelaburan strategik dalam usaha memperkukuh kapasiti penjanaan dan daya tahan sistem bekalan elektrik negara, di samping memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
Tambahnya, apabila siap pada tahun 2029, projek tersebut dijangka menambah kapasiti penjanaan sebanyak 215 megawatt, iaitu kira-kira 33 peratus daripada jumlah permintaan puncak elektrik negara, dengan kecekapan loji sebanyak 51.6 peratus.
Selain itu jelasnya, projek berkenaan juga dijangka dapat memperkukuh kapasiti rizab negara, meningkatkan kestabilan grid serta mempertingkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan keseluruhan sistem bekalan elektrik.
Loji baharu itu juga akan mempunyai keupayaan menggunakan dua jenis bahan api, iaitu gas dan diesel, sekali gus memberikan fleksibiliti operasi serta meningkatkan keselamatan bekalan elektrik.
Selain peningkatan kapasiti, projek berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kecekapan operasi sektor tenaga melalui penggunaan teknologi penjanaan kitaran gabungan moden yang menawarkan penggunaan bahan api lebih cekap serta prestasi keseluruhan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga), JPM, juga memaklumkan bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perkhidmatan Elektrik, JPM, telah menganugerahkan projek tersebut kepada Sinohydro Corporation Limited.
Pelaksanaan projek itu juga turut dijangka memberikan manfaat kepada negara melalui peluang pekerjaan tempatan, perkembangan perkhidmatan sokongan, pemindahan pengetahuan, pembangunan kapasiti serta pengukuhan kepakaran tempatan dalam sektor tenaga.
Kerjasama erat antara rakan kongsi antarabangsa dengan agensi-agensi tempatan katanya, diharap dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta memperkukuh keupayaan tempatan dalam bidang tenaga.
Beliau juga menyeru semua pihak yang terlibat untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual, dengan tadbir urus yang berkesan serta mengutamakan aspek keselamatan, kualiti, kecemerlangan kejuruteraan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Projek tersebut tambahnya lagi, dihasrat mendukung pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memastikan sektor tenaga yang berdaya tahan, cekap, dan mampan untuk masa hadapan.
Projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di seluruh negara, dalam mendukung Wawasan Brunei 2035, dan Matlamat Pembangunan Mampan 7: iaitu bagi memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.
Projek Stesen Janakuasa Combined Cycle Gas Turbines Fasa 2 di Bukit Panggal ini akan
meningkatkan kapasiti penjanaan negara sebanyak tambahan 215 megawatt (MW) berbanding kapasiti sedia ada, dan akan menyumbang ke arah mencapai sasaran kecekapan penjanaan tenaga negara sekurang-kurangnya 50 peratus, berbanding tahap kecekapan purata semasa iaitu kurang dari 30 peratus.