Pendaftaran SMS keputusan peperiksaan dibukakan, 14 Ogos ini

14 Og 2026 - 6:21am

Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan

BERAKAS, Khamis, 13 Ogos. - Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Datastream Digital Sdn.  Bhd. (DST), Progresif Sdn. Bhd. (Progresif), Imagine Sdn. Bhd. (Imagine) dan Mach Telecommunications Systems Sdn. Bhd. (MachTel) akan menawarkan Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) bagi mendapatkan Keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'A' dan 'AS' sesi Mei/Jun 2026.

Ibu bapa atau penjaga serta pelajar yang ingin melanggan perkhidmatan berkenaan boleh mendaftar melalui telefon bimbit menggunakan SMS dengan memasukkan teks berikut, iaitu MOE<jarak>REGA<jarak>[KOD PUSAT]<jarak>[NOMBOR CALON]<jarak>[NOMBOR I.C. CALON] dan dihantar ke 8885555 bagi pelanggan DST, 38666 bagi pelanggan Progresif dan 39966 bagi pelanggan Imagine.

Ibu bapa atau penjaga serta pelajar boleh mula melanggan perkhidmatan berkenaan mulai pada Jumaat, 14 Ogos 2026. Para pelanggan adalah dimaklumkan bahawa tiada sebarang bayaran akan dikenakan semasa pendaftaran yang dilakukan melalui telefon bimbit.

Keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan melalui SMS setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkan keputusan berkenaan. Pelanggan akan dikenakan pembayaran berjumlah BND3 bagi setiap keputusan SMS yang diterima.

Kementerian Pendidikan berharap melalui perkhidmatan yang disediakan berkenaan akan dapat memberi manfaat kepada orang ramai, terutama sekali para ibu bapa/penjaga dan pelajar serta pihak berkepentingan Kementerian Pendidikan secara umum.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan mengenai tatacara pendaftaran, bolehlah berhubung terus melalui nombor +673 8671355 atau e-mel ke ‘moeresults@machbrunei.com’.