Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
JERUDONG, Sabtu, 15 Ogos. - Dalam sama-sama memeriahkan, memperingati dan membesarkan Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) tidak ketinggalan menyertai Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di beberapa buah masjid di seluruh negara, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Kampung Jerudong menjadi masjid pertama yang dikunjungi rombongan PGGMB bagi menjayakan aktiviti keagamaan berkenaan.
Aktiviti tersebut merupakan antara program keagamaan tahunan PGGMB yang dikendalikan oleh Bahagian Keagamaan PGGMB. Antara tujuan utama penganjurannya adalah untuk memeriahkan dan membesarkan sambutan Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, meraih pahala serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli PGGMB dan jemaah masjid yang dikunjungi.
Rombongan PGGMB diketuai oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri bersama Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli-Ahli Bahagian Keagamaan PGGMB.
Hadir mewakili pihak Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam ialah imam masjid tersebut, Awang Haji Mohd. Yaldi bin Haji Mohd. Yusof; Pemangku Ketua Kampung Jerudong 'A', Awang Mohammad Nazmi Fa'iz bin Haji Abu Bakar serta para jemaah masjid berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh imam masjid diikuti dengan persembahan beberapa buah dikir yang dibawakan oleh ahli-ahli PGGMB bersama jemaah masjid.
Penganjuran aktiviti seumpama ini diharap dapat terus menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim, di samping membuka ruang kepada jalinan kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat antara PGGMB dan pihak masjid.