Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Keperluan mewujudkan satu mekanisme penyelarasan atau platform khas bagi memperkukuhkan penyelarasan antara kementerian dan jabatan, merupakan antara cadangan yang diketengahkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cekap dan berkesan.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin menyuarakan cadangan tersebut semasa menyampaikan usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Terdahulu, Yang Berhormat merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kebijaksanaan baginda memperkenankan rombakan Kabinet dengan pelantikan paduka-paduka anakanda baginda serta mewujudkan tiga jawatan Menteri Penyelaras.
Menurut Yang Berhormat, langkah tersebut merupakan satu pendekatan strategik yang tepat pada masanya ketika negara memasuki fasa yang amat kritikal menuju Wawasan Brunei 2035.
“Dengan pelantikan paduka-paduka anakanda baginda juga, barang setentunya akan memberikan impak yang lebih padu dalam usaha pelaksanaan penyelarasan di peringkat Menteri Penyelaras dan kementerian-kementerian yang lain,” ujar Yang Berhormat. Yang Berhormat juga menyokong sepenuhnya usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Menurut Yang Berhormat, kementerian dan jabatan tidak lagi boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu berfungsi sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama.
Dalam pada itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa keamanan negara merupakan asas utama kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial, sekali gus menjadi teras penting dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. Yang Berhormat berkata, keamanan merupakan aset paling berharga yang perlu sentiasa dipelihara dan disyukuri oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
“Dalam konteks semasa, landskap keselamatan global semakin mencabar dengan pelbagai ancaman baharu seperti jenayah siber, penyebaran maklumat palsu, ekstremisme, ancaman ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik,” jelas Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menekankan bahawa usaha memperkukuhkan keamanan tidak lagi tertumpu kepada aspek pertahanan semata-mata, malah memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan setiap individu.
Menyentuh mengenai penyelarasan antara kementerian dan jabatan, Yang Berhormat berkata, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan koordinasi dalam menangani isu-isu merentas bidang (cross-cutting issues), khususnya berkaitan pembangunan ekonomi, perdagangan dan pelaburan negara.
Menurut Yang Berhormat, perbezaan bidang kuasa, peraturan serta perundangan antara agensi kadangkala boleh menyebabkan pertindihan fungsi, percanggahan prosedur atau kekeliruan mengenai pihak yang bertanggungjawab.
Keadaan tersebut, kata Yang Berhormat, boleh melambatkan proses membuat keputusan serta menjejaskan kelancaran aktiviti ekonomi dan keyakinan komuniti perniagaan.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya diwujudkan satu platform penyelarasan khas yang berperanan sebagai pemudah cara (facilitator) dalam menyelaras penyelesaian isu rentas agensi, khususnya yang berkaitan dengan ekonomi dan perdagangan.
Yang Berhormat menyatakan, platform berkenaan perlu mempunyai mandat yang jelas untuk menyelaras tindakan antara kementerian dan jabatan, memantau perkembangan isu, mempercepatkan proses membuat keputusan serta memastikan penyelesaian dapat dicapai secara cekap dan dalam tempoh yang munasabah.
“Dengan adanya pusat penyelarasan sedemikian, komuniti perniagaan tidak lagi perlu berurusan dengan pelbagai agensi secara berasingan bagi menyelesaikan satu isu yang sama.
“Sebaliknya, platform tersebut akan bertindak sebagai pusat rujukan dan penyelarasan, sekali gus mengurangkan kelewatan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta menyokong agenda pertumbuhan ekonomi negara,” jelas Yang Berhormat.