Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara Rakan Seliaan (RS) dan keluarga mereka, di samping memberikan sokongan moral dalam proses integrasi semula ke dalam masyarakat, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Kaunseling) dengan kerjasama Pusat Reintegrasi, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah menganjurkan Program Usrah (after-care) Bersama RS bertempat di Pusat Reintegrasi.
Program berkenaan bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan agama kepada kalangan RS secara berterusan selepas tempoh in-care, di samping memberikan bimbingan dan sokongan berterusan agar membantu mereka meningkatkan keyakinan harga diri seterusnya memudahkan proses penerimaan dan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.
Turut hadir, Pemangku Ketua Pemulihan dan Reintegrasi, Jabatan Penjara, Pemangku Penguasa Awang Hamdani bin Haji Mohd. Salleh; Pemangku Ketua Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI, Awang Alizan bin Haji Ramle dan Presiden The Aftercare Support Association (AFSA), Dayang Hajah Juhanah binti Haji Jaya.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa. Diikuti dengan aktiviti pemanasan badan serta brisk walk yang diketuai oleh jurulatih dari Jabatan Penjara.
Pelbagai aktiviti permainan menarik turut dipertandingkan termasuk sukaneka keluarga yang melibatkan RS, ahli keluarga, urus setia dan ahli jawatankuasa. Ini jelas bahawa penglibatan bersama ini menunjukan keakraban dalam menjalinkan hubungan kekeluargaan yang sekian lama terjalin erat. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Program seumpama ini diharapkan akan dapat terus dilaksanakan pada masa hadapan kerana memberikan manfaat yang besar dan sangat berguna dalam menyokong proses pemulihan dan reintegrasi RS secara menyeluruh.
Selain membina keyakinan diri dan memupuk semangat kerjasama, program ini turut berperanan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan serta membantu RS untuk kembali memainkan peranan positif dan aktif dalam masyarakat, selaras dengan matlamat after-care.