Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Hari IVF Sedunia disambut setiap tahun pada 25 Julai bagi memperingati kelahiran anak damit pertama di dunia yang dikandung melalui kaedah In Vitro Fertilisation (IVF), sekali gus menandakan satu pencapaian penting yang telah mengubah bidang rawatan kesuburan dan perubatan reproduktif di seluruh dunia.
Sejajar dengan sambutan global tersebut, Pusat Kesihatan Jerudong Park (JPMC) melalui Unit Perubatan Reproduktif telah menganjurkan 'Hope Beyond the Horizon', iaitu sebuah forum awam yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ketersediaan dan akses serta kemajuan rawatan IVF di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Forum berkenaan menghimpunkan orang ramai, para profesional kesihatan serta tetamu jemputan bagi menggalakkan perbincangan yang lebih berinformasi mengenai masalah ketidaksuburan, iaitu satu keadaan perubatan yang boleh menjejaskan golongan lelaki mahupun wanita serta memberi kesan yang ketara terhadap kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi.
Acara yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) tersebut dirasmikan oleh Pengarah Perkhidmatan Perubatan Am, JPMC, Dr. Awang Muhd. Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim.
Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan IVF di NBD, JPMC menekankan kepentingan meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai masalah ketidaksuburan serta pilihan rawatan kesuburan yang tersedia di negara ini.
Forum tersebut turut menekankan keperluan untuk mengurangkan stigma terhadap masalah ketidaksuburan, menggalakkan individu mendapatkan konsultasi lebih awal serta mempromosikan penjagaan kesuburan yang bersifat multidisiplin dan berfokuskan kepada pesakit.
Consultant Obstetrician, Gynecologist and Fertility Specialist, JPMC, Dr. Chitra Karat dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa rawatan kesuburan boleh menjadi satu perjalanan yang panjang dan mencabar dan ia bukanlah sesuatu yang seharusnya dilalui secara bersendirian.
Forum pada tahun ini turut mengetengahkan kepentingan perkhidmatan kesuburan yang mematuhi syariah, bagi memastikan pilihan rawatan kekal mudah diakses serta selaras dengan nilai dan kepercayaan masyarakat kita.
Forum tersebut juga menampilkan panel multidisiplin yang terdiri daripada Dr. Chitra Karat; Embriologis, Faridatul Asyiqin Jeffri; Pegawai Dietetik, Hoh Shair Li serta Kaunselor Kesuburan, Dayangku Noor Afiqah binti Pengiran Kasmirhan.
Pendekatan secara kolaboratif ini memastikan penjagaan kesuburan bukan sahaja tertumpu kepada rawatan perubatan, malah turut mengambil kira faktor fizikal, emosi dan gaya hidup yang boleh mempengaruhi kesihatan reproduktif seseorang.